Saturday 5 March 2016

BoBoiBoy: The Movie menghiburkan!




BoBoiBoy: The Movie

ANIMASI BoBoiBoy menjadi antara animasi TV paling popular pada masa kini.
Setelah tiga musim bersiaran, penerbit dan pengarahnya, Mohd Nizam Abdul Razak mengambil langkah berani untuk mengangkat karya siri itu ke layar perak.
Filem arahan Nizam ini dijayakan Nurfathiah Diaz (Boboiboy), Nur Sarah Alisya (Yaya), Yap Ee Jean (Ying), Dzubir (Gopal), Muhammad Anas (Atok Aba) dan Muhammad Fathi (Ochobot).
Bukan itu sahaja, Nizam juga turut menyumbang suara menerusi karakter Papa Zola. Ia juga turut menyaksikan kemunculan istimewa Fara Fauzana dan AG di dalam filem ini.
Dengan bajet mencecah RM5 juta, penulis menyifatkan filem pertama terbitan Animonsta Studios ini setaraf dengan produk antarabangsa.
Masakan tidak, walaupun seratus peratus dihasilkan di Malaysia, kualiti serta hasil filem animasi ini sama seperti kebanyakan filem animasi Hollywood lain.
Dengan sepenuhnya penggunaan teknologi tiga dimensi (3D), Nizam berjaya menggarap filem ini dengan kemas sekali.
Bahkan setiap pertukaran babak itu tampak kemas dengan permainan warna yang cukup cantik.
Dari sudut teknikal, penulis tidak nampak kekurangan dan berasa kagum dengan sentuhan anak tempatan yang cukup baik.
Tidak hanya memberi perhatian terhadap sudut teknikal sahaja, Nizam juga tidak melupakan jalan cerita yang diolah dengan baik sekali.
Apa yang pasti, filem ini jauh berbeza dengan animasi TV dan tidak menampilkan jalan cerita sama, serta menampilkan watak baharu.
Bahkan BoBoiBoy: The Movie bukan hanya sesuai ditonton oleh kanak-kanak, tetapi juga oleh golongan dewasa.
Filem ini juga padat dengan aksi dan komedi yang pastinya akan membuatkan penonton tidak akan kering gusi sepanjang menonton filem ini.
Selain memberi tumpuan kepada animasi dan jalan cerita, Nizam turut memberi menyuntik elemen nilai-nilai murni, nasihat dan pengajaran yang boleh dijadikan sebagai contoh dan teladan.
Salah satu elemen yang dipaparkan adalah nilai persahabatan, pengorbanan dan kasih sayang serta cinta.
Misi menyelamat
BoBoiBoy: The Movie mengisahkan sekumpulan makhluk asing bernama The Tengkotak tiba di bumi dan menculik Ochobot. Mereka mahu menggunakannya untuk mencari sebuah Sfera Kuasa yang tersembunyi di bumi. BoBoiBoy dan kawan-kawannya perlu menyelamatkan Ochobot dan membongkar rahsia di sebalik Sfera Kuasa tersebut.
Tidak hanya aspek teknikal dari sudut suntingan, olahan warna dan jalan cerita, Nizam juga berjaya membentuk mereka yang terlibat dengan alih suara untuk membawakan watak mereka dengan baik.
Malah segala intonasi suara diseimbangkan dengan mimik muka serta tampak lebih real.
Secara keseluruhannya, filem ini berbaloi untuk ditonton bersama seisi keluarga dan apa yang pasti, ada kejutan yang ditampilkan buat peminat setia animasi ini di akhir filem itu nanti.

No comments:

Post a Comment