Saturday 19 March 2016

Jahit manik beri pendapatan lumayan




Jahit manik beri pendapatan lumayan
Mel bersama sebahagian tempahan sebelum dipos kepada pelanggan. 
PENGORBANANNYA meninggalkan kerjaya yang diminati dalam bidang perbankan semata-mata untuk bersama keluarga terutamanya menjaga cahaya matanya, Adeena Zehra Ahmad Zaki memberikan kepuasan kepada  Pengasas The Burblepearl, Mellisa Burhan.
Mellisa atau Mel, 31 berkata, tanpa perlu bergegas ke pejabat setiap pagi, dia kini selesa menguruskan rumah tangganya dan fokus menceburi bidang jahitan manik kerana ia memberikan pendapatan lumayan.
Hasil tangannya itu menjadi pilihan ramai kerana menjadikan pemakainya kelihatan anggun, berketerampilan dan bergaya untuk acara formal dan kasual.
“Seingat saya, saya menceburi bidang jahitan manik secara tidak sengaja. Saya menjahit manik baju sanding saya kerana mahu menjadikan sesuatu yang istimewa pada hari bersejarah itu. Saya tidak sangka kerana ia menjadi kesukaan rakan-rakan yang hadir dan mula menempah untuk mereka pada 2012,” katanya.
Mel berkata, bermodalkan RM250, dia membeli material untuk mencantikkan bajunya. 
Pada 2013, atas saranan teman baiknya, Mel mula menceburi jahitan manik pada tudung yang dijahitnya sendiri.
“Saya hanya menggunakan lebihan perca lace dan manik dari baju perkahwinan pelanggan untuk menghiasi selendang. Walaupun agak terhad, ia menjadi pilihan dan saya menamakannya Maryam,” katanya yang merupakan isteri kepada Ahmad Zaki Abdullah.
Pada masa sama, Mel juga menjahit manik untuk beberapa pereka fesyen terkenal tanah air dan butik terkemuka.

Tekad berhenti kerja
Berbekalkan pengalaman yang ada dan mahu menjadi ibu yang terbaik kepada anaknya, Mel mengambil keputusan berhenti kerja pada Oktober 2015. 
“Sebelum berhenti kerja, saya cuba menjahit selendang dan menjualnya pada Jun 2015, saya menerima sambutan yang di luar jangkaan. Setiap bulan, permintaan akan bertambah dan kini mempunyai lebih 10 stokis di seluruh negara.
“Alhamdulillah, selepas berhenti kerja, tempahan yang diterima semakin banyak. Tidak sampai setahun, saya mempunyai lebih sembilan koleksi selendang antaranya Hafeeda, Zulaikha, Zehra, Iris, Sabreena, Saleena dan Aleeya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia masih meneruskan menjahit manik baju pengantin dan veil kerana masih mendapat permintaan tinggi.

Lebih kreatif
Setakat ini, dia mampu menjahit 250 helai sebulan selendang dan keyakinan pelanggan yang mahukan dia menjahit ikut cita rasanya menjadikan ia lebih mudah.
“Kebanyakan pelanggan hanya menyerahkan kepada saya untuk menjahit manik selendang mereka. Sekarang trend, chunky bead, banyak elemen ada yang mutiara dan kristal dan ia banyak di pasaran,” katanya.
Keyakinan dan kepercayaan pelanggannya, menyebabkan Mel teliti terutamanya berkaitan pemilihan material, kekemasan jahitan dan corak manik serta gabungan manik yang digunakan.
“Mereka mahukan rekaan yang mini malis dan sesuai menggayakan selendang ke mana-mana sahaja. Selalunya jahitan manik pada selendang mempunyai tiga identiti dan jambangan bunga. 
“Saya boleh menghasilkan jahitan selendang bersama manik sebanyak 20 helai sehari. Saya tidak mempunyai butik dan hanya menjalankan kerja-kerja menjahit di rumah sahaja,” katanya.
Selain pasaran Malaysia, The Bubblepearl juga kini berada di luar negara antaranya Singapura, Emiriah Arab Bersatu dan bakal memasuki pasaran Filipina.
Menariknya, setiap pelanggan yang membeli selendang The Bubblepearl akan menerima bungkusan yang cantik dan kad ucapan penghargaan Mel.
“Saya mahu pelanggan merasai mereka dihargai dan lain daripada peniaga tudung yang sedia ada. Saya menerima maklum balas positif daripada mereka yang suka kepada pembungkusan dan wangian yang digunakan,” katanya.

Cabaran pembakar semangat
Mel mengakui dia juga tidak terlepas daripada menghadapi cabaran, namun menganggapnya sebagai asam garam dalam perniagaan.
“Gambar yang diambil dan diletakkan di laman sosial sebagai tujuan promosi dicuri dan diletakkan di laman sosialnya. Saya terkejut dengan kejadian tersebut, namun percaya kejujuran dalam perniagaan sangat penting untuk mendapat keberkatan,” katanya.
Mel tidak menolak, dia sendiri melihat kreativiti orang lain, namun tidak menjadi seperti yang dilihatnya terutamanya pakaian tetamu yang cantik di majlis perkahwinan dan butik pakaian.
“Saya tidak boleh menjahit seperti yang dilihat dan hasil jahitan adalah daripada gerak jari saya sendiri. Kadang-kadang mahu menjahit tumbuh-tumbuhan tetapi hasilnya adalah binatang. Selalunya saya akan menabur manik bercampur-campur, dan dari situ saya akan menggabungkan warna dan bentuk manik,” katanya yang berasal dari Batu Pahat, Johor.
Mel yang merupakan anak kepada pasangan Burhan Mohamad dan Rohani Muhammad juga sanggup mengambil risiko dengan menghantar selendangnya tanpa sebarang pembayaran.
“Alhamdulillah, selepas mereka melihat material, fabrik dan jahitan manik, mereka akan menambah tempahan. Saya  mahu memberikan yang terbaik kepada pelanggan dengan menyediakan 35 pilihan warna kepada mereka,” katanya.
Mel berkata, The Bubblepearl kini hanya beroperasi di rumah sahaja.

No comments:

Post a Comment