PONTIAN - Pelbagai alunan muzik tradisi masyarakat Melayu, Cina dan India mula kedengaran seawal jam 10 pagi, ketika latihan tarian dikendalikan Persatuan Tarian Singa dan Naga Kung Seng Keng.
Kerancakan muzik dan gerak-geri penari terdiri daripada kanak-kanak dan remaja Melayu, Cina dan India ini, pasti mencuri tumpuan penonton.
Penyelaras persatuan, Yeo Lee Ching berkata bagi mencari kelainan, tiga tarian berbeza yang mewakili tiga kaum utama di negara ini diajar kepada kanak-kanak yang berusia seawal 10 tahun.
Jelasnya, meskipun nama persatuan melambangkan tarian singa dan naga yang cukup sinonim dengan orang Cina, namun persatuan tidak pernah melupakan tarian dan seni masyarakat berbilang di negara ini.
“Malaysia cukup bertuah kerana penduduknya terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum yang mencipta keunikan daripada segi makanan, pakaian, bahasa malah seni tarian.
“Namun keunikan ini yang menyatukan kita semua," katanya kepada Sinar Harian.
Biarpun baru ditubuhkan dua tahun lalu, namun Persatuan Tarian Singa dan Naga Kung Seng Keng sudah mempunyai hampir 150 ahli selain mempunyai tiga lokasi latihan berbeza di daerah ini.
“Konsep persatuan yang menekankan kepada kepelbagaian bangsa menarik minat ibu bapa untuk membenarkan anak-anak belajar tarian pada setiap hujung minggu.
“Latihan diadakan di tiga lokasi berbeza iaitu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJK (C) Lok York, Benut, SJK(C) Tai Tong Bandar Pontian dan Dewan Serbaguna Taman Mas Merah Pekan Nanas,” katanya.
Bagi memastikan latihan dapat dibuat sebaik mungkin, tenaga pengajar dipilih daripada mereka yang benar-benar mahir sehingga sanggup mendapatkan bantuan daripada seorang guru tarian dari Muar.
“Lebih membanggakan persatuan turut dijemput menjayakan persembahan pada majlis rumah terbuka samada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Deepavali di sekitar daerah Pontian.
“Peluang yang diberikan ini amat bermakna kepada penari untuk menunjukkan bakat mereka,” katanya.
Lee Ching juga sempat berkongsi pengalaman ketika selesai persembahan apabila penonton tidak menyangka di sebalik kostum singa rupanya penari Melayu.
“Ramai terkejut, namun mereka tetap memberikan sokongan kerana ia sesuatu yang baik selain menggalakkan semangat perpaduan,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, katanya dengan sokongan berterusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan dan pemimpin setempat, persatuan mahu menarik lebih ramai ahli.
Tiga sahabat Melayu mahir menari tarian singa
Penyertaan empat sahabat dalam Persatuan Tarian Singa dan Naga Kung Seng Keng sejak setahun lalu, menjadikan mereka antara penari tarian singa yang mahir di daerah ini.
Mohd Halil Azmi, 17, bersama tiga lagi rakannya, Mohd Hawri Amin, 17, Mohd Faizul Qaed, 21, dan Mohd Ilham Jamaludin, 14, adalah penari memakai kostum singa bagi menjayakan persembahan tarian singa.
Katanya, di bawah bimbangan persatuan itu, mereka berempat diberi kepercayaan menjayakan persembahan tarian singa di merata tempat di sekitar daerah.
“Kami memang tidak ada asas menari tarian singa yang sebelum ini hanya dilihat di televisyen.
“Namun selepas dipelawa seorang pak cik daripada Persatuan Tarian Singa dan Naga Kung Seng Keng, minat mula timbul untuk mempelajari seni tarian singa,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina, Taman Desa Sri Ara, Kayu Ara Pasong, baru-baru ini.
Menurut Mohd Halil, pada mulanya mereka berempat hanya memenuhi pelawaan untuk datang melihat latihan tarian naga yang dikendalikan pihak persatuan di sebuah sekolah di bandar Pontian.
“Tenaga pengajar persatuan kemudiannya memberikan kami tunjuk ajar tentang asas tarian singa.
“Mula-mula rasa malu kerana kami tidak tahu langsung menari, tetapi lama-kelamaan langkah asas yang diajar dapat diikuti dan kami gembira melakukannya,” katanya.
Bagi Mohd Hawri pula, dia tidak menghadapi masalah untuk berlatih kerana Mohd Halil dan Ilham turut belajar di sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Dato Ali Haji Ahmad (SDAHA).
“Mudah untuk kami ke tempat latihan bagi menjalani latihan asas tarian singa yang diadakan ketika cuti hujung minggu.
“Saya gembira dapat menarikan tarian singa yang cukup sinonim dengan masyarakat Cina di negara ini,” katanya.
Bagi Ilham pula, dia berharap akan dapat mempelajari lebih mendalam tentang tarian singa terutama dari segi gerak-geri langkah tarian yang disifatkan cukup mencabar seperti sedang 'berkungfu'.
“Jika diberi peluang, saya mahu jadi penari tarian singa yang profesional. Peluang yang diberikan oleh pihak persatuan pada masa sekarang amat dihargai kerana saya dapat menunjukkan bakat dalam kesenian,” katanya.
Pupuk minat dan perpaduan
Bagi penari cilik, Saidatul Syuhadah Sharil, 11, dia gembira kerana minat menarinya dapat dipupuk sejak kecil melalui latihan yang diadakan.
“Saya bermula dengan bermain alat muzik bagi mengiringi persembahan tarian singa. Latihan tarian yang diadakan memberi peluang kepada saya untuk belajar tarian pelbagai kaum di negara ini,” katanya.
Nur Fariza Zainuddin, 12, pula mengakui seronok dapat mengenali rakan-rakan dari pelbagai kaum ketika menjayakan persembahan tarian dan ketika sesi latihan diadakan.