AYER MOLEK - Meskipun sudah hampir 14 tahun bersara, seorang bekas guru besar tetap mencurahkan baktinya dengan memberi khidmat tuisyen kepada anak tempatan di kediamannya di Kampung Tengah, Paya Dalam, di sini.
Yakmad Baba, 69, sebelum ini menjawat jawatan sebagai guru besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel, Ayer Molek sebelum bersara pada awal Disember 2002.
Beliau mula mengajar tuisyen kepada anak kampung dan pelajar dari kawasan sekitar pada tahun 2004 sehingga kini.
Menurutnya, setakat ini, kelas tuisyennya disertai lebih kurang 60 anak murid yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan juga menengah.
“Kelas tuisyen saya usahakan ini sedikit sebanyak atas dorongan masyarakat kampung yang mahukan supaya saya memberi tuisyen kepada anak mereka memandangkan mereka tahu kemampuan saya dalam menyalurkan pengetahuan dan pengalaman dalam bidang akademik.
“Justeru, usaha saya lakukan ini lebih berbentuk amal jariah dan bukannya mencari keuntungan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dari segi cabaran kaedah terbaru pendidikan masa kini pula Yakmad menjelaskan dia banyak mencari bahan baharu di beberapa kedai buku ternama di bandar Melaka bagi mendalami kaedah pembelajaran terkini.
Selain itu, katanya, dia juga mengikuti perkembangan semasa dalam aspek pendidikan melalui surat khabar dan sebagainya demi menyelaraskan kaedah serta kurikulum masa kini.
Beliau berkata, kelas tuisyennya dibahagi kepada dua sesi iaitu murid Tahun Dua hingga Tahun Enam mengikuti kelas pada sebelah pagi bermula dari jam 9 pagi hingga jam 11 pagi manakala pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima dari 11 pagi hingga ke 1 tengah hari setiap Sabtu dan Ahad.
“Bagi murid sekolah rendah saya ajar tiga mata pelajaran utama iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik manakala pelajar sekolah menengah pula saya khususkan pada Bahasa Inggeris sahaja.
“Bayaran dikenakan pada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah cuma RM10 sahaja sebulan. Kadar bayaran berkenaan tidak tinggi kerana niat saya mahu membantu anak kampung yang kurang berkemampuan,” katanya.
Yakmad yang juga bekas guru Bahasa Inggeris berkata, dia seboleh-bolehnya mahu membimbing anak muridnya supaya mahir dalam Bahasa Inggeris memandangkan ianya adalah bahasa global dan penting untuk masa depan mereka.
“Walaupun sudah lama bersara namun saya berasa puas dapat meluangkan masa dengan mengaajar tuisyen," katanya.