BATU CAVES - Sebuah keluarga sanggup mengizinkan rumahnya dijadikan sebagai asrama dan pusat tahfiz sementara selepas maahad tahfiz sebelum ini ditutup.
Pengurus Tahfiz Maahad Muaz Al-Hikmah, Bashiruddin Md Anifar Baba berkata, pusat tahfiz tersebut mula beroperasi di rumah keluarganya terletak di Kampung Nakhoda Kiri sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, ruang terhad menyebabkan tiada tambahan pelajar diambil buat sementara waktu sehingga ada penempatan baharu yang lebih sesuai diperoleh.
“Kita dalam perancangan bina sebuah bangunan di tanah lapang di Kampung Laksamana, tapi masih dalam proses dokumentasi.
“Tahfiz sudah beroperasi dua tahun di Hulu Kelang, sebelum rumah yang diwakafkan itu dikembalikan semula kepada keluarga itu selepas menghadapi beberapa masalah,” katanya.
Dia berkata, keluarganya kini berpindah di bahagian belakang rumah bagi membolehkan rumah dua tingkat itu dijadikan asrama dan kelas menghafaz.
“Seramai 18 pelajar berusia antara sembilan hingga 19 tahun berada di sini. Selepas selesai menghafaz 20 juzuk mereka akan diberikan pilihan kemahiran atau meneruskan akademik di pengajian tinggi.
“Seramai enam anak yatim berada di sini dan pusat tahfiz beroperasi hasil daripada yuran pelajar sebanyak RM400 sebulan selain bantuan luar,” katanya.
Bashiruddin berkata, beliau menyasarkan untuk pembinaan bangunan tahfiz dapat disiapkan menjelang tahun hadapan dengan anggaran kos sebanyak RM500,000.
Beliau mengalu-alukan bantuan awam menyalurkan sumbangan dana pembangunan tahfiz melalui akaun CIMB bernombor 8602434700.
Terdahulu pihaknya menerima sumbangan wang tunai daripada Pertubuhan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia disampaikan Presidennya, Amir Amsaa Alla Pitchay, kelmarin.
Amir berkata, pihaknya menyokong hasrat murni Bashiruddin yang tidak berputus asa walaupun berdepan dugaan itu.
“Sebagai NGO, saya terpanggil membantu tahfiz ini dan sokongan orang ramai diperlukan supaya niat murni mengembangkan agama diteruskan,” katanya.