MUADZAM SHAH - Golongan gelandangan di bandar besar seperti Kuala Lumpur memerlukan perhatian dan didekati selain diberikan sumbangan agar dapat meringankan beban hidup mereka.
Mahasiswa universiti awam atau swasta sebagai pewarsi negara diminta tidak memandang remeh isu ini sebaliknya tampil membantu dalam pelbagai bentuk program kerana  graduan universiti adalah  antara pewaris kepimpinan negara.
Pengarah Program Feed The Needs, Muhammad Ibrahim, 23, berkata program itu dianjurkan Enactus Universiti Tenaga Nasional (Uniten) bagi mengedarkan bungkusan bantuan berisi pakaian, alat kebersihan harian dan makanan kepada gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Menurutnya, ia bukan sahaja disertai 50 pelajar dari Uniten Kampus Sultan Haji Ahmad Shah (Uniten KSHAH) malah turut disertai penuntut dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) seramai 300 orang.
“Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang keadaan tempat tinggal dan bagaimana gelandangan itu menjalani kehidupan mereka yang serba kekurangan.
“Setiap peserta berpeluang mendekati golongan ini seterusnya mengagihkan sendiri sumbangan yang dikumpulkan hasil daripada beberapa program kutipan yang dijalankan sekitar Muadzam Shah,” katanya kepada Sinar Harian.
Semua peserta berkumpul di Masjid Uniten Putrajaya terlebih dahulu untuk membungkus barang sumbangan sebelum bergerak ke lokasi yang telah ditetapkan iaitu Jalan Tar, Maju Junction, Masjid Negara, Bank Negara dan Puduraya untuk mengagihkannya.
Muhammad berkata, peserta dapat melihat sendiri gelandangan menjadikan kaki lima di sekitar lokasi itu sebagai tempat mereka tidur pada  waktu malam.