DALAM perancangan awal, kedua-dua bintang ini akan mengadakan sesi bertemu peminat pada penghujung Mei ini. Sesi tersebut adalah sebagai penghargaan buat peminat yang selama ini banyak menyokong kerjaya seni hiburan mereka.
Namun, perkara itu tidak dapat direalisasikan pada masa ini memandangkan kedua-duanya mahu memberikan sesuatu yang lebih buat peminat mereka.
Datuk Royce Saiyan dan Faizal AF4 terpaksa menangguhkan dahulu sesi bersama peminat apabila kedua-dua bintang ini sedang sibuk merakamkan lagu duet mereka sebagai hadiah.
"Bukannya tak jadi.., cuma kami mahu beri sesuatu yang baharu. Ini juga kali pertama saya akan bekerja dengan Faizal.
"Saya sudah siapkan lagu dan lirik. Saya harap ia akan menjadi dan pendengar suka dengan gabungan suara kami memandangkan kami dalam genre berbeza," kata Royce.
Menurutnya, jika tiada aral, majlis tersebut akan diadakan pada Syawal hadapan.
"Insya-ALLAH, tempat masih sama iaitu di Menara Kuala Lumpur. Cuma, tarikh dan masa sahaja belum ada lagi.
"Semuanya akan diberitahu kelak. Selain bertemu peminat, ada juga acara lain akan diadakan. Pendek kata, sesi bersama peminat ini bukan hanya dapat dengar lagu tetapi lebih daripada itu," katanya kepada Zass.
Sementara itu, Faizal melahirkan rasa bangga apabila penyanyi rock wanita negara itu sudi untuk berduet dengannya.
"Ini bagaikan penghargaan buat saya. Selain saya sendiri sibuk dengan rakaman single terbaru, beliau ada buat lagu untuk kami.
"Saya tidak sabar untuk merakamkan dan akan memberikan sepenuh komitmen untuk lagu baharu ini. Saya harap, peminat yang menanti buah tangan baharu daripada kami akan berpuas hati.
"Inilah periuk nasi saya sebagai anak seni. Peminat adalah tulang belakang kejayaan saya. Jadi untuk meraikan mereka, biarlah ada sesuatu yang baharu. Jadi, saya berharap dapat bertemu semua peminat pada Syawal nanti," katanya.