KUALA KRAI - “Tolong jaga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra 1 dari segala aspek. Saya nak tengok sekolah ini terus cemerlang dan gemilang,” itu antara pesanan Pengetua Cemerlang, Komaruddin Abdullah pada hari terakhir beliau bertugas di sekolah berkenaan, semalam.
Sempena Majlis Jasamu Dikenang, Komaruddin dan isterinya, Zunainah Adam diarak dengan tandu mengelilingi sekolah, selain turut diarak menaiki pedati juga di pekarangan sekolah berkenaan.
Komaruddin berkata, beliau bangga dengan seluruh warga sekolah yang sentiasa memberi kerjasama baik sepanjang 11 tahun beliau menjadi pengetua di sekolah berkenaan.
Menurutnya, banyak kenangan indah terpahat di sekolah berkenaan, termasuklah bertemu jodoh di sekolah sama.
“Hasil kerjasama guru dan pelajar, saya menjadi guru cemerlang. Hasil kerjasama warga sekolah, saya turut menerima penghargaan daripada polis dan sultan Kelantan,” katanya yang turut meluahkan perasaan sayu meninggalkan sekolah yang menjadi tempatnya mencurah bakti separuh dari tempoh perkhidmatannya.
Menurut Komaruddin, sebelum menjadi pengetua, beliau terlebih dahulu bertugas di sekolah berkenaan.
“Sebab itu saya terlalu sayangkan sekolah ini. Selepas ini hilang keriuhan, gelak ketawa guru yang cukup saya sayang. Jangan sedih, yang hilang berganti dan yang patah akan tumbuh,” katanya.
Persaraan Komaruddin sangat dirasai guru dan pelajar kerana beliau sanggup melalukan apa sahaja untuk warga sekolah berkenaan, termasuk menghantar sendiri pelajar sakit ke hospital.
Beliau juga sanggup menggantikan kelas guru yang sakit atau mempunyai urusan, selain berjaya menjulang nama sekolah sehingga ke peringkat antarabangsa apabila empat bekas pelajar sekolah berkenaan mewakili negara ke Sukan Sea 2017.
Pada hari terakhir di sekolah berkenaan, beliau diarak menaiki pacuan empat roda ke bandar Kuala Krai, sebelum dihantar ke rumahnya di Padang Sembilan diiringi pasukan keselamatan.
Sementara itu, bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Abdullah Harun turut kagum dengan komitmen ditunjukkan Komaruddin.
“Beliau sentiasa memberi sokongan kepada guru. Wang untuk membiayai program, beliau akan cari sendiri. Itu yang membuatkan beliau disayangi guru dan pelajar,” katanya.