KUMPULAN nasyid, Inteam telah mengambil insiatif mengedarkan 800 keping album Tahmid Lebaran kepada pengguna-pengguna jalan raya yang pulang ke kampung halaman masing-masing secara percuma, semalam.
Menurut Syah Inteam, aktiviti seumpama itu pertama kali dilakukan pihaknya sebagai tanda berkongsi kegembiraan Aildilfitri bersama para pengguna jalan raya yang pulang ke kampung.
Sementara Hazamin Inteam akui bersyukur melihat senyuman para pemandu ketika menerima pemberiannya.
“Kami berharap mereka suka dan menghayati lagu ini di samping memandu dengan cermat dan selamat pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pihak MTD yang menyelia Lebuhraya Pantai Timur dan RELA yang turut membantu dan mempermudah urusan program ini,” katanya.
Album tersebut diedarkan bersama beberapa barangan lain termasuk krim penjagaan kulit halal dan mesra umrah-haji, buku amalan harian serta baucer diskaun bermula jam 9 pagi tadi hingga jam 11 pagi di Plaza Tol Gombak bagi kenderaan yang menuju ke Pantai Timur.
Lagu Tahmid Lebaran merupakan single baru terbitan Inteam Records yang menampilkan Raihan, Hijjaz, Rabbani, Inteam, Fareast dan Lah Ahmad.
Lagu lain yang turut dimuatkan dalam album itu ialah lagu Ramadan Dua Zaman nyanyian Inteam dan Nazrey Johani, Gema Mubarak, Ifthar dan Takbir Raya.