PENAMPILAN pertama dalam filem Penunggu Istana pada 2011 jelas belum cukup untuk memastikan namanya meniti di bibir peminat. Namun bagi Mustaqim Mohamed, ia bukan penyebab untuk terus ‘tenggelam’ dari arus seni tempatan.
Walaupun memegang watak utama filem berkenaan, dia masih belum diingati peminat sehingga kembali diberi peluang tampil watak Firdaus dalam filem CEO di samping Remy Ishak, Beto Kusyairi, Christina Suzanne dan Datuk Jalaluddin Hassan.
Filem komedi arahan Razaisham Rashid pada 2014 itu akhirnya meningkatkan keyakinannya kembali beraksi sebaris pelakon baharu.
“Selepas Penunggu Istana, saya terlibat indie scene dan aktif di belakang tabir. Ada juga drama lakonan saya seperti Geng Surau, Keluarga Iskandar 2, Jodoh, Cinta 100kg, Mr Tanda Soal selain telemovie Jihan Cari Calon Suami.
“Penampilan saya yang sentiasa berubah-ubah ikut kehendak watak juga menyebabkan sukar untuk peminat benar-benar mengingati kehadiran saya,” katanya.
Kata jejaka berusia 27 tahun ini, peluang beraksi dalam pementasan teater Lela Manja pada 22 hingga 24 dan 29 hingga 31 Julai ini amat dihargai malah ia mengasah lagi bakatnya dalam bidang lakonan.
Mustaqim akan terlibat dalam projek ditunda sebelum ini iaitu super telemovie, Asrama-Ra All Stars arahan Dira Abu Zahar.
“Saya kembali terlibat dalam beberapa projek besar selepas pementasan teater Lela Manja berharap agar nama saya kembali diingati peminat.
“Seperti semangat baharu, saya kembali aktif dalam bidang lakonan dengan peluang yang diberikan oleh mereka yang nampak pada bakat lakonan yang dikurniakan ALLAH SWT kepada saya,” katanya.
Ujarnya, pelakon baharu yang membanjiri industri ibarat cendawan tumbuh selepas hujan, kerana itu beliau tidak boleh mengambil remeh kerjaya yang mula berjalan kembali.
“Pemilihan watak penting, tetapi bergantung kepada keadaan juga. Setakat ini saya berpuas hati kemampuan dan bakat yang saya tonjolkan dan harapnya lebih ramai pengarah dan penerbit dapat melihat kemampuan dan kualiti yang mampu saya,” katanya.