BUNGA bukan sahaja boleh menghasilkan produk berbentuk wangian, namun bunga juga boleh menghasilkan produk kesihatan dan kecantikan yang ramai antara masyarakat tidak sedari.
Tambah istimewa apabila sesuatu produk itu terhasil daripada gabungan beberapa jenis bunga yang mengandungi pelbagai kelebihan dan khasiat termasuk bunga raya.
Buktinya, V-Sireh Beauty Expert berjaya menghasilkan Areum iaitu produk tambahan kesihatan dan kecantikan berbentuk tablet dikunyah bagi mendapatkan khasiatnya.
Pengasasnya, Norazura Md Posdzi berkata, Areum terhasil daripada gabungan ekstrak bunga-bungaan seperti sakura, bunga raya, calendula dan ros.
Menurutnya, setiap bunga mengandungi khasiat tersendiri yang telah menjalani proses kajian dan pembangunan (R&D) selama beberapa bulan sebelum terhasilnya Areum.
“Ekstrak bunga sakura dapat membantu menjadikan kulit lebih putih berona merah jambu, menggalakkan penghasilan kolagen kulit secara semula jadi dan membantu kulit menjadi lebih lembut dan menghidratkan kulit.
“Ekstrak bunga ros pula membantu melembap dan menegangkan kulit, menghilangkan lingkaran gelap di bawah mata dan memerahkan bibir. Bunga raya pula menjadikan kulit lebih muda, anjal dan sihat,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tambah Norazura, dengan harga RM59 sekotak, Areum bukan sahaja berfungsi untuk memelihara kecantikan bahkan juga kesihatan.
“Dengan mengamalkan Areum, pengguna dapat menghindari daripada pelbagai penyakit. Fungsi Areum juga membantu menstabilkan hormon, merangsang penghasilan kolagen dalam tubuh, memberi tenaga berpanjangan, mencerahkan mata, menguatkan akar rambut dan membuang toksin dalam badan,” katanya.
Inspirasi wanita Korea
Areum yang bermaksud bunga dalam bahasa Korea adalah produk yang diinspirasikan dari masyarakat di sana yang terkenal dengan kulit yang cantik serta mulus. Malah kecantikan itu dikatakan sangat berkait rapat dengan penggunaan bunga sakura.
Justeru itu, Norazura berkata, dia memberanikan dirinya untuk terus mengkaji khasiat bunga serta mengeluarkan tablet kunyah berasaskan bunga-bungaan.
“Proses kajian dan pembangunan (R&D) untuk Areum memakan masa lebih kurang lima bulan iaitu dari bulan April hingga September tahun lalu.
“Kos pula dianggarkan lebih kurang RM20,000 untuk proses tersebut. Ia memakan masa kerana mencari keserasian dalam gabungan empat jenis bunga tersebut untuk mendapatkan hasil terbaik,” katanya.
Norazura berkata, setelah terhasilkan gabungan itu, pihaknya memilih pula perisa strawberi untuk tablet kunyahan itu kerana ia perasa yang diminati ramai.
“Warna tablet juga saya pilih warna merah jambu sesuai dengan rasa dan gabungan ekstrak empat bunga,” katanya.
Jelasnya, kebanyakan ekstrak bunga untuk produk Areum diimport daripada luar negara kecuali ekstrak bunga raya dan ros.
“Ekstrak bunga sakura dan calendula memang tiada di sini dan kami terpaksa import dari luar negara, justeru kos memang agak mahal namun kami jual produk dengan harga mampu milik,” katanya.
Pilih musim bunga
Kelainan produk Areum berbanding produk lain adalah dari segi rekaan kotak bungkusannya yang akan berubah mengikut musim bunga dan seakan-akan kotak minyak wangi.
Norazura berkata, kini, syarikatnya telah mengeluarkan tiga jenis kotak yang mengikut tiga jenis musim bunga.
“Kotak bungkusan warna biru sempena musim luruh, kotak warna ungu pula sempena musim bunga dan kotak warna kuning sempena musim sejuk.
“Kami memilih untuk menukar kotak bungkusan setiap pertukaran musim bunga kerana, tidak mahu pelanggan bosan dengan bungkusan yang sama, lagipun, kotak tersebut boleh disimpan untuk perhiasan atau tempat menyimpan kerongsang,” katanya.
“Produk Areum disasarkan untuk golongan remaja berumur 13 tahun ke atas tidak kira lelaki atau wanita kerana sesuai untuk keduanya.
Norazura berkata, kini Areum terjual lebih 30,000 kotak sebulan dan mahu ia terus meningkat.
“Kini kami mempunyai 30 ejen pengedar dan berharap ia akan bertambah terutama bagi pengedar yang berminat untuk dijual ke luar negara.
“Areum telah menembusi pasaran Singapura, Brunei dan India. Saya harap akan ada lebih banyak lagi negara akan kita terokai,” katanya.
Norazura turut tidak menyangka produknya itu mendapat sambutan di kalangan kaum lelaki walaupun sasaran mereka adalah remaja wanita.