KUMPULAN trio, KRU kembali menghiburkan peminat dengan mengadakan konsert sempena ulang tahun ke-25 pembabitan dalam industri hiburan tanah air.
Konsert yang dinamakan sebagai KRU 25 itu  diadakan sempena sambutan Pesta Raya Festival 2016 dan berlangsung di Concert Hall, Esplanade, Singapura pada 6 Ogos lalu.
Dalam konsert itu, KRU yang dianggotai Datuk Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim menyampaikan lebih 17 lagu popular mereka.
Antara lagu-lagu hits yang didendangkan ialah The Way We Jam, Awas, Terhangat Di Pasaran, Untukmu, Janji Tinggal Janji, Negatif, Oh La La!, Di Dalam Dilema, Tiga Kata,  Apa Saja, Jangan Lafazkan, Fanatik dan Hingga Ke Jannah.
Kesempatan itu juga diambil KRU untuk menyanyikan lagu yang dicipta atau dinyanyikan oleh artis naungan KRU secara ‘medley’ seperti Sedetik Lebih (Anuar Zain), Manisnya Senyumanmu (Feminin) dan Romancinta (Mojo).
Menghangatkan lagi suasana, pelakon, Lisa Surihani membuat kejutan apabila muncul di atas pentas sebagai penari ketika kumpulan tiga beradik itu mendendangkan lagu pop hits, Oh La La!.
Menariknya, kelincahan isteri kepada Yusry itu   menari berjaya mengaburi mata KRU dan semua peminat setia kumpulan tersebut.
Tidak hanya itu, peminat setia KRU turut dihidangkan dengan klip video Flashback 25 sekali gus memaparkan pelbagai gambar kenangan dan pencapaian KRU sejak dari pertama kali muncul sebagai artis rakaman pada 1992 sehingga ke hari ini.
Tidak terhenti setakat itu, siri konsert ini akan diteruskan di Malaysia dengan beberapa siri jelajah dan diakhiri dengan Konsert Utama KRU 25 yang dijadualkan berlangsung pada 19 Mei 2017.
Konsert yang dihadiri lebih 1,200 peminat itu merupakan yang pertama kali diadakan selepas konsert terakhir, kira-kira 14 tahun lalu.
Sebelum ini, sempena sambutan dua dekad, satu persembahan berskala besar telah dijayakan sekitar empat tahun lalu.