DUNGUN - Bagi menjadikan arena persilatan terus gah dikuasai masyarakat Melayu, Karnival Silat Sekolah Menengah Agama (SMA) Terengganu yang berlangsung selama tiga hari dua malam diadakan di SMA Sultan Ismail Dungun (SMASID), di sini, baru-baru ini.
Yang Dipertua Persatuan Silat Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, seni persilatan yang melambangkan budaya dan identiti Melayu harus dipertahankan kerana dibimbangi akan dikuasai warga asing memandangkan silat sudah menerobos ke persada antarabangsa.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab anak-anak bangsa khususnya menerusi karnival diadakan untuk mewarisi seni persilatan yang amat berkait rapat dengan budaya Melayu serta agama Islam.
“Tahniah kepada penganjur yang mengadakan karnival seperti ini bagi memastikan silat terus hidup seperti peribahasa tidak lapuk dek hujan  tidak lekang dek panas," katanya.
Rosol berkata, sejak kebelakangan ini, seni silat sudah dikuasai warga asing, malah ada pesilat dari Korea berjaya memenangi pertandingan di peringkat antarabangsa.
“Kita agak kecewa apabila silat mula dikuasai dengan baik oleh bangsa asing dan kita bimbang identiti masyarakat Melayu dalam seni mempertahankan diri ini akan luntur.
“Diharapkan karnival dan pertandingan seperti ini dapat diteruskan oleh sekolah-sekolah agama dan sama-sama kita pastikan seni ini terus maju ke hadapan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup karnival itu.
Hadir sama, Pengetua SMASID, Saipul Bahri Abd Ghani.
Manakala, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, seni persilatan adalah landasan untuk menyemai nilai -nilai murni, toleransi, kesefahaman dan pelbagai lagi manfaat.
Menurutnya, menerusi karnival ini, kita mahu pelajar di SMA setanding dengan pelajar aliran biasa dalam aspek kokurikulum.
“Peserta cemerlang akan digarap bakatnya untuk menjadi pemangkin dan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
“Warisan budaya ini perlu dikekalkan sepanjang zaman dan pelakar harus mengambil peluang bukan sahaja untuk amalan gaya hidup sihat tetapi satu cabang mempertahankan diri. Secara tidak langsung mereka dapat mengenal potensi diri sebagai seorang pelajar Islam dan mengubah sikap negatif kepada pemikiran positif,” katanya.

SMA Sultan Ismail muncul juara
Sementara itu, SMA Sultan Ismail  muncul juara keseluruhan sempena Karnival Silat SMA Terengganu kali ke-18 2016.
Selaku tuan rumah, SMASID yang diwakili pesilat berbakat berjaya mengungguli pertandingan apabila mengumpul mata paling banyak menewaskan sekolah-sekolah agama dari seluruh Terengganu.
Karnival kali ini melibatkan lebih 300 peserta lelaki dan perempuan serta beberapa kategori dipertandingkan termasuk Seni Solo Kreatif, seni tempur kreatif, seni masal dan seni pulut.