MUAR - Tidak mementingkan keuntungan semata-mata menjadi pendorong buat seorang anak muda memperkenalkan perkhidmatan gunting rambut dari rumah ke rumah di sekitar daerah ini dengan harga serendah RM2.
Malah, bayaran itu dikenakan hanya sebagai modal untuk mengisi minyak petrol motosikalnya memandangkan perkhidmatan yang diperkenalkan itu dilakukan di kediaman pelanggan.
Muhammad Hafidz Ahmad, 28, mengakui, dia pada asalnya tidak terfikir untuk serius kerana menganggap perkhidmatan gunting rambut itu sebagai kerja amal semata-mata.
“Saya hanya kenakan bayaran RM2 kerana berniat mahu membantu orang ramai. Kita tahu pasti ada masyarakat yang uzur dan tidak larat untuk ke kedai gunting rambut, jadi inisiatif itu saya ambil untuk ringankan sedikit kesukaran golongan ini.
“Malah, jika untuk golongan miskin dan jemaah masjid atau surau berdekatan, saya tidak kenakan sebarang bayaran memandangkan niat saya untuk buat kebajikan,” katanya kepada Sinar Harian.
Pemegang Diploma Perakaunan dari Kolej Profesional Mara (KPM) Ayer Molek, Melaka ini berkata, dia yang baru beberapa bulan menamatkan pengajian berkecimpung dalam perniagaan itu sebagai mengisi masa lapang sementara menunggu tawaran kerja.
“Menjadi seorang usahawan memang tidak pernah terlintas di fikiran saya. Masa tamatkan pengajian pun saya cuma ada dua impian iaitu bekerja di firma sebagai akauntan sebelum jadi penternak berjaya.
“Namun sejak berjinak-jinak dalam bidang ini, minat ke arah bisnes mulai wujud dan saya cadang untuk fokus beri perkhidmatan gunting rambut. Namun, pada masa sama akan berusaha menjadi seorang penternak sebagai menyambung minat ayah suatu ketika dahulu,” katanya ditemui di kediamannya di Jalan Daud di sini.
Tak jual kemahiran
Menurut Muhammad Hafidz, dia sering menetapkan dalam fikirannya bahawa kemahiran yang ada bukanlah untuk dijual, tapi digunakan untuk membantu.
“Kerana itu saya tidak berasa rugi dengan keuntungan yang sangat rendah. Saya fikir kerja yang saya lakukan ini tidak memerlukan modal besar.
“Yang saya perlukan hanyalah mesin gunting rambut bernilai RM20 dan sebuah motosikal. Jadi bayaran untuk minyak petrol pun cukup memadai. Jika nak kira kemahiran yang kita ada, pastinya harga dikenakan lebih tinggi berbanding tukang gunting rambut di kedai,” katanya.
Malah pemuda ini turut menegaskan bahawa perkhidmatan yang disediakan itu turut menggunakan sumber elektrik pelanggan.
“Atas alasan apa saya nak kenakan bayaran tinggi sedangkan kerja yang saya lakukan ini juga menggunakan elektrik daripada kediaman pelanggan.
“Saya hanya memperuntukkan tenaga dan kebolehan. Malah jika rumah pelanggan terlalu hampir, saya hanya naik basikal kerana lebih mudah,” katanya yang kini menerima hampir 20 pelanggan setelah sebulan menjalankan perkhidmatan itu.
Belajar teknik gunting rambut sendiri
Ditanya mengenai kebolehannya dalam teknik menggunting rambut, Muhammad Hafidz mengakui hanya belajar secara sendiri melalui internet.
“Dulu tak terfikir kebolehan ini akan menjadi mata pencarian saya seperti sekarang. Saya belajar teknik menggunting rambut secara sendiri di YouTube sebelum mengaplikasikannya kepada rakan-rakan di tempat belajar dulu.
“Kerana terlalu banyak menerima tempahan, maka saya digelar Malik Gunting Rambut. Di sana, saya juga sering minta pandangan dan komen rakan mengenai hasil kerja saya. Daripada situ, saya berusaha menajamkan lagi kemahiran serta memperhalus teknik saya,” katanya.
Dia dalam pada itu bersyukur kerana kerjaya barunya itu mendapat galakan daripada ibu bapa serta sokongan rakan-rakan.
“Alhamdulillah, ibu dan ayah tak halang apa yang saya lakukan. Malah mereka beri galakan dengan meyakinkan saya bahawa kerja amal ini akan memberikan ganjaran suatu hari nanti.
“Selain rakan-rakan yang sering menggunakan khidmat saya, jemaah masjid dan surau juga selalu membantu dengan mempromosikan aktiviti ini kepada rakan mereka.
“Buat masa ini saya akui berhadapan kekangan untuk memberi perkhidmatan kepada golongan wanita, namun insya-ALLAH, saya sedang berusaha mencari rakan kongsi wanita yang sudi mengenakan bayaran sama seperti saya untuk membantu,” katanya.
Bagaimanapun menurut Muhammad Hafidz, lokasi perkhidmatannya itu terpaksa dihadkan berikutan tidak mahu menanggung risiko jika mendapat tempahan yang terlalu jauh dari kawasan bandar Muar
.