ALOR GAJAH - Walaupun tidak pernah mengambil kursus menggunting rambut, namun seorang pelajar membuktikan dengan minat dan usaha pasti mampu melakukannya.
Pelajar Jurusan Teknologi Pembuatan Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, Mohamad Zul Alif Mat Daud, 23, berkata, dengan kemahiran menggunting rambut, dia dapat mengusahakan kedai Gunting Rambut di Kediaman Jazari berdekatan Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Menurutnya, kedai yang dibuka selepas tamat waktu kuliah iaitu dari jam 8 malam hingga 11.30 malam itu diusahakan bersama tiga lagi rakannya, sekali gus mampu menambahkan wang sampingan bagi menampung kos sara hidup di universiti itu.
Katanya, kesempitan hidup keluarganya juga membuatkan dia sanggup membuat kerja sampingan itu biarpun masih bergelar pelajar di semester tiga, lebih-lebih lagi ibunya hanya mengambil upah mengupas kelapa di kampung bagi menyara lima adiknya yang masih bersekolah termasuk adik bongsunya di pra sekolah.
“Saya anak sulung, dan rasa tanggungjawab bantu keluarga walaupun saya masih belajar. Bila tahu tentang kedai gunting rambut ini saya terus tawarkan diri untuk menyertai.
“Sekurang-kurangnya saya dapat juga menghantar wang kepada mak di Bachok, Kelantan bagi meringankan beban terutama dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya.
Mohamad Zul Alif berkata demikian ketika ditemui pada Program Kampus Rakan Muda 2016 di Pusat Sukan UTeM, di sini, semalam.
Bagi rakannya, Fathillah Hamzan, 18, berkata, bayaran yang dikenakan kepada pelanggan juga berpatutan bermula RM6 hingga RM8 mengikut kehendak mereka.
Menurutnya, sekali gus kewujudan kedai gunting rambut dalam kediaman pelajar bukan sahaja memudahkan malah membantu pelajar berjimat.
“Malah saya juga berazam dengan wang sebagai tukang gunting rambut ini akan saya gunakan untuk membeli motosikal. Ini bagi memudahkan saya berulang-alik ke universiti,” katanya.