BUKAN sahaja barang atau makanan yang diingini terus sampai ke rumah, kini perkhidmatan mencuci kusyen kereta juga boleh terus ke rumah kita.
Perkhidmatan cucian kusyen kenderaan di rumah menjadi trend pada hari ini, memandangkan gaya hidup masyarakat semakin sibuk dengan kerjaya dan mengurus keluarga.
Cara itu juga memudahkan pelanggan dan menjimatkan masa, berbanding ke kedai cuci kenderaan, yang pastinya menunggu giliran lama.
Melihat perkara itu, Pengasas bersama Cuci Muci Enterprise, Muhammad Afiq Akmal Rosle membuka perniagaan menawarkan khidmat cucian kusyen kereta bergerak terus ke rumah pelanggan, menerusi jenama Cuci Muci, Ogos tahun lalu.
"Sebelum ini, saya mengusahakan kedai cuci kenderaan. Saya seorang yang teliti dengan kebersihan kereta, tetapi tidak boleh hendak fokus pada cucian kusyen.
"Tambahan pula, jika hantar ke kedai cuci kenderaan, kereta terpaksa ditinggalkan di kedai selama tiga atau empat hari bagi mengeringkan kusyen kereta, menyukarkan pelanggan untuk ke mana-mana. Dari situ, tercetusnya idea kami menawarkan perkhidmatan ini, terus ke rumah pelanggan," katanya.
Cepat kering
Sementara itu, Pengasas Cuci Muci Enterprise, Muhammad Halimi Zamri berkata, Cuci Muci menggunakan mesin karcher, daripada Jerman, untuk mencuci kusyen kereta pelanggan.
Katanya, pelanggan yang berminat perlu membuat temu janji terlebih dahulu, sebelum pasukan Cuci Muci ke rumah mereka bagi menjalankan kerja-kerja cucian, yang biasanya mengambil masa kira-kira sejam.
"Kusyen kereta akan kering dalam tempoh dua hingga tiga jam selepas dicuci, bergantung kepada cuaca. Ia boleh kering cepat kerana mesin yang kami gunakan mampu untuk mengeluarkan dan menyedut semula air, bagi mengeringkan kusyen.
Hendak keringkan kusyen juga senang, kerana pelanggan hanya perlu menurunkan sedikit tingkap kereta, bagi mempercepatkan proses pengeringan.
"Kalau pelanggan hendak pakai kereta dalam kadar segera, kami akan lapik kusyen dengan plastik khas supaya mereka boleh gunakan terus kereta," katanya.
Menurutnya, perkhidmatan Cuci Muci mendapat sambutan hangat sejak diperkenalkan, dengan maksimum tujuh buah kereta sehari, bagi satu pasukan.
"Kami beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Johor. Setiap kawasan, ada pasukan masing-masing iaitu dua orang, untuk ke rumah pelanggan dan setiap pasukan ini, maksimum boleh cuci kusyen tujuh buah kereta sehari.
"Caj dikenakan bergantung kepada saiz kenderaan, bermula RM140 hingga RM250," katanya.
Selain kusyen kereta, Cuci Muci turut mencuci karpet surau, pejabat atau rumah, dan sofa.
Memudahkan pelanggan
Sementara itu, peniaga online, Ameer Karomi Mohd Suhaimi berkata, dia yang pernah dua kali mendapatkan perkhidmatan cucian kusyen kereta di rumahnya, tertarik dengan perkhidmatan itu, selepas melihatnya di laman sosial Facebook.
"Perkhidmatan ini memudahkan kerana kita hanya perlu membuat panggilan telefon sahaja dan mereka akan datang terus ke rumah, terus cuci yang mengambil masa sekitar 40 minit.
"Tidak perlu bersusah payah mengangkat kusyen atau membasuh sendiri. Setakat ini, saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Harganya juga berpatutan, iaitu sekitar RM150," katanya.
Bagi Mohd Shah Che Ahmad, pekerja swasta, walaupun belum pernah menggunakan perkhidmatan itu, namun dia berpendapat, ia merupakan idea yang bagus, sehingga menjadi trend pengguna pada masa kini.
"Pelanggan tidak perlu bersusah-payah cari kedai kerana perkhidmatan itu boleh didapati terus di rumah kita, sekali gus menjimatkan masa dan tenaga.
"Kusyen kereta yang kotor, contohnya, akibat terkena sisa makanan atau minuman, boleh menyebabkan bau kurang menyenangkan, menjadikan ia satu keperluan untuk mencucinya," katanya.
Menurutnya, dia yang mempunyai seorang anak sering menghadapi masalah kusyen kotor akibat tumpahan susu, yang boleh menyebabkan bakteria dan berbahaya kepada penumpang.
"Lagipun kalau kusyen kereta kotor bertompok-tompok dan kelihatan seperti peta, ia memalukan jika ada orang menumpang kenderaan kita. Ini secara tidak langsung menunjukkan peribadi kita, yang pengotor atau tidak ambil berat tentang kebersihan," katanya.
Peniaga online, Suhairi Alias berkata, ciri-ciri yang memudahkan itu membuatkan dia tertarik mencuba perkhidmatan cucian kusyen kenderaan, terus ke rumahnya.
"Sejak membeli kereta empat tahun lalu, saya tidak pernah mencuci kusyennya. Bila tahu ada perkhidmatan ini ditawarkan terus ke rumah pelanggan, saya terus mencubanya.
"Ternyata kesan minyak yang lekat pada kusyen akibat tumpahan makanan sebelum ini hilang. Kusyen kereta saya terasa seolah-olah seperti kusyen baharu. Saya berpuas hati dengan hasilnya," katanya.