KUALA TERENGGANU - Seorang anak yatim kematian bapa sejak berusia dua tahun, tekad mengubah nasib keluarga apabila berjaya memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan pagi tadi.
Murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Losong, Muhammad Daniel Hakimi Mohd Othman itu berkata, dia sedar keperitan hidupnya bersama ibu, Hasmah Razak, 39, yang hanya bekerja sebagai tukang jahit demi membesarkannya.
Berikutan itu, dia tekad dalam dirinya untuk menghadiahkan kejayaan kepada ibu dan juga arwah bapa, Mohd Othman Shafie yang meninggal dunia akibat kanser pada tahun 2006.
“Sejak kematian bapa, ibulah yang menjaga, membesarkan saya seorang diri sehingga saya berjaya pada hari ini (semalam) dan ini adalah hadiah buat ibu yang banyak berkorban untuk saya.
“Saya akan berusaha dengan lebih gigih lagi pada masa akan datang untuk menghadapi peperiksaan awam seterusnya seperti Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seterusnya ke universiti,” katanya kepada pemberita yang ditemui di sekolahnya, di sini, hari ini.
Daniel yang bercita-cita menjadi seorang jurutera berkata, dia tidak mahu menyusahkan ibunya lagi suatu hari nanti dan akan membuat ibunya itu bahagia dengan kejayaan demi kejayaan yang akan diperolehnya.
“Saya selalu tengok ibu jahit baju siang dan malam untuk pastikan saya dapat pendidikan yang sempurna, lepas ini saya tak mahu lihat ibu susah lagi dan ingin melihat ibu bahagia,” kata anak tunggal berkenaan.