ALOR SETAR - Seorang peniaga menjadi mangsa viral palsu apabila stesen minyak miliknya di Jalan Pegawai dikatakan akan memberi minyak percuma kepada motosikal dari jam 12 tengah hari hingga 2 petang dan jam 4 hingga 6 petang.
Viral palsu berkenaan yang tidak meletakkan tarikh menyebabkan ada penunggang motosikal yang datang bertanyakan mengenai minyak percuma bermula semalam.
Pemilik stesen minyak, Fazura Shariffudin berkata, dia hanya mengetahui perkara terbabit kira-kira jam 10 pagi, kelmarin, setelah dimaklumkan oleh rakan-rakannya.
“Jadi, saya sememangnya terkejut. Ramai, kawan-kawan tanya. Sedangkan, kita tidak tahu apa-apa mengenai pengisian minyak petrol percuma seperti yang disebarkan melalui WhatsApp.
“Bayangkan, ada yang sanggup datang dari Bukit Kayu Hitam kerana percaya mesej itu. Jadi, kami sememangnya amat kasihan kepada mereka yang datang jauh dengan harap betul-betul mendapat minyak percuma,” katanya.
Kata Fazura, mereka sekeluarga kesal ada individu tidak bertanggungjawab sanggup menyebarkan mesej palsu sedemikian tanpa memikirkan kesan kepada orang ramai.
“Tergamak mereka membuat mesej sedemikian sehingga ramai tertipu. Setakat petang kelmarin, kira-kira 50 orang sahaja berkumpul dengan harap mendapat isian minyak percuma,” katanya.
Katanya, penyebaran mesej palsu berkenaan dikhuatiri menjejaskan imej stesen minyak mereka, memandangkan sebilangan pengguna berkemungkinan tidak mengetahui hal sebenar.
Susulan itu pemilik stesen minyak menaikkan satu notis memaklumkan tiada pemberian minyak percuma seperti tersebar di aplikasi WhatsApp kerana didapati masih ada pengguna tidak mengetahui perkara sebenar.
Dalam notis sama, kata Fazura, mereka memberi penjelasan bahawa sebarang informasi ataupun promosi hanya akan dimuat naik melalui aplikasi sah mahupun melalui pengurusan stesen sahaja.
Malah, adik lelakinya, Muhammad Safwan Shariffuddin, 26, membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari, kelmarin.
Melalui pemerhatian selama 30 minit, kira-kira enam penunggang motosikal mengunjungi premis terbabit untuk mendapatkan minyak petrol 'percuma'.
Bagaimanapun, ada di antara mereka beredar, dan ada dilihat membayar wang selepas menerima maklumat itu.