KUALA LUMPUR - Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dianugerahkan Bintang "The Order of King Abdulaziz (Excellent Grade)" di Royal Court, Riyadh, Arab Saudi Isnin lepas.
Menurut kenyataan Markas ATM hari ini, pengurniaan itu telah dimasyhurkan sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan cemerlang dan khidmat bakti serta sumbangan signifikan yang dicurahkan oleh Zulkifeli dalam mewujudkan kerjasama, persefahaman dan hubungan pertahanan antara Malaysia dan Arab Saudi.
"Istiadat penganugerahan ini telah disempurnakan oleh Timbalan Putera Mahkota dan Menteri Pertahanan Arab Saudi Mohammed Salman sempena lawatan persaraan Panglima ATM ke Arab Saudi," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menyebut, Zulkifeli merupakan satu-satunya penerima bintang tersebut daripada rantau Asia Tenggara yang merupakan manifestasi pencapaian gemilang bukan sahaja kepada beliau tetapi juga menjadi mercu tanda kebanggaan bagi ATM, rakyat dan negara.