UMUM mengenali wanita berusia 30 tahun ini sebagai pelakon berbakat besar Malaysia. Nama Sharifah Amani bukan sahaja dikenali di Malaysia, bahkan telah mengharumkan nama di pentas seni antarabangsa.
Pernah memenangi trofi Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke-19 menerusi filem Gubra pada 2005, anak kepada pelakon veteran Fatimah Abu Bakar dan suaminya, Syed Zainal Rashid Al-Yahya ini juga pernah dua kali membawa pulang trofi Aktres Terbaik Anugerah Skrin pada 2009 dan 2014.
Tidak hanya berbakat besar di dalam bidang lakonan, Amani yang mesra di sapa dengan panggilan Nani juga telah membuktikan kemampuannya di arena belakang tabir.
Pernah mengarahkan filem pendek, Sangkar, dia juga pernah menjadi penolong pengarah filem Talentime, arahan Yasmin Ahmad dan juga penolong pengarah lagak ngeri filem Merong Mahawangsa, arahan Yusry Abdul Halim.
Terbaharu hasil muzik video arahannya, Suatu Pernah yang dinyanyikan oleh Fynn Jamal bersaing bersama empat pengarah lain termasuk Ghaz Abu Bakar menerusi Video Muzik Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 22 yang akan berlangsung pada 18 Disember depan.
Mengulas mengenai pencalonannya itu, Nani menyifatkan muzik video tersebut sebagai sebuah projek yang amat disukainya.
"Kak Fynn dan suaminya menghubungi saya dan meminta saya mengarahkan muzik video untuk album terbaharunya.
"Mereka beri saya senarai lagu dan minta saya pilih. Bila saya dengar lagu Suatu Pernah, ia mengenai sebuah kisah cinta yang tak kesampaian dan saya sukakan konsep ceritanya. Malah konsep visual yang macam mana saya mahukan terus masuk di dalam kepala.
"Jadi saya terus bersetuju dan ajak adik saya iaitu Sharifah Aleesya sebagai Penerbit dan Sharifah Amani selaku Pengurus Produksi.
"Saya juga minta bantuan kawan-kawan saya seperti Zahiril Adzim, Nadiya Nisaa, Iedil Putra, Dira Abu Zahar untuk terlibat sama di dalam produksi ini.
"Alhamdulillah mereka memberi kerjasama yang cukup baik dan bila ia tercalon, saya rasa bangga," ujarnya kepada Media Hiburan.
Ditanya arah tujunya di dalam bidang pengarahan, Nani berkata, bagi mana-mana individu yang bergelar pengarah, hasrat untuk mengarahkan filem sendiri adalah sesuatu yang amat diidamkan.
Namun faktor bajet selalunya memberi kekangan besar untuk mereka.
"Kalau saya mahu arahkan filem, tentulah saya mahukan sebuah filem yang bukan tangkap muat.
"Saya akan pastikan naskhah itu berbaloi untuk di bawa ke layar perak.
"Dalam masa yang sama saya suka konsep seperti sebuah filem Bollywood di mana dalam satu filem, kita dapat lihat mereka jelajah ke banyak tempat.
"Tapi konsep sebegitu memerlukan bajet yang banyak.
"Jadi buat masa ini saya selesa menghasilkan filem-filem pendek kerana dalam masa yang sama, saya dapat mengasah kemahiran saya," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nani kini sibuk dengan pementasan teater Nadira yang berlangsung di Tokyo.