TANAH MERAH - Pengeluar sambal goreng budu jenama Resepi Mok Kawe (Remoka) di sini, terpaksa menanggung tambahan kos sebanyak RM14 sehari susulan kenaikan harga minyak masak, baru-baru ini.
Nor Hafizah Mohd Azmi berkata, dia menggunakan sebanyak 10 kilogram (kg) atau dua botol besar minyak masak sehari bagi menghasilkan kira-kira 20kg sambal goreng budu.
Katanya, walaupun mahal, dia tidak ada pilihan selain terus menggunakan minyak masak botol bagi memastikan kualiti produk sambal goreng budu keluarannya terjamin.
“Untuk pastikan bawang goreng dalam sambal budu goreng Remoka rangup, kami guna minyak masak botol. Kalau guna minyak masak paket, bawang goreng jadi lembik (layu) dan tak rangup,” katanya, semalam.
Nor Hafizah yang mengusahakan produk sambal goreng budu Remoka bersama suaminya, Mohd Zaaim Yunus berkata demikian ketika ditanya kesan kenaikan harga minyak masak terhadap perniagaannya.
Pasangan yang memenangi tempat pertama bagi produk inovasi peringkat negeri selepas mula memperkenalkan produk itu awal tahun ini pernah mengisi ruangan Usahawan Kita dalam akhbar Sinar Harian, Oktober lalu.
Selain bawang goreng, sambal goreng budu Remoka yang diwarisi Nor Hafizah daripada resipi ibunya itu diperbuat dengan bahan utama lain seperti budu, lada dan ikan segar.
Produk sambal goreng budu Remoka menawarkan tiga variasi iaitu 50 gram (g) yang dijual pada harga RM5, 150g (RM15) dan 300g (RM30).
Nor Hafizah berkata, biarpun terpaksa membeli minyak masak 5kg pada harga RM20.95 berbanding RM13.35 sebelum ini, dia belum berhasrat menaikkan harga sambal goreng budu Remoka.
"Setakat ini, kami masih jual pada harga lama dan belum berniat naikkan harga walaupun terpaksa tanggung kos tambahan kerana bimbang pelanggan akan berkurangan,” katanya.
Tambah Nor Hafizah, selain terpaksa menanggung kos tambahan, dia juga sukar mendapatkan bekalan minyak masak botol dan terpaksa mencari di merata kedai.
“Kadang-kadang kedai saya singgah hanya ada minyak masalah botol kecil sahaja, jadi terpaksa cari di kedai lain pula,” katanya.