MELAKA - Sekumpulan nelayan di muara Sungai Duyong di sini gempar dengan penemuan seekor ikan yu paus atau nama saintifiknya Rhincodon Typus yang tersangkut pada pukat sebuah bot nelayan kira-kira tujuh batu nautika dari Pulau Hanyut di sini, semalam.
Nelayan, Saedon Ibrahim, 56, berkata, ikan seberat kira-kira  1.5 tan dengan panjang lima meter itu disedari tersangkut pada pukat bot kira-kira jam 4 pagi.
Menurutnya, dia bersama adiknya, Mahat Ibrahim, 55, pada mulanya tidak mengetahui yang tersangkut itu adalah seekor paus sehinggalah menundanya ke darat.
“Saya rasa berat yang luar biasa semasa mahu menarik jaring tersebut lalu, bersama adik menunda bot sehingga ke darat dan mendapati ia adalah seekor paus,” katanya ketika ditemui di Hub Perikanan Muara Sungai Duyong di sini, semalam.
Saedon berkata, penemuan ikan yu paus tersebut adalah kali pertama sejak dia menjadi nelayan lebih 20 tahun lalu.
Menurutnya,  kejadian itu telah mengakibatkannya kerugian kira-kira RM7,000 apabila pukatnya rosak teruk.
Sementara itu, Exco Pertanian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Hasan Abdul Rahman berkata, ikan berkenaan telah dilepaskan di perairan berdekatan Pulau Undan.
“Nelayan cuba melepaskan ikan berkenaan semasa di laut, namun berhadapan dengan kesukaran lalu menarik ikan untuk diselamatkan ke Muara Sungai Duyong.
“Jabatan Perikanan bersama beberapa nelayan telah bertindak melepaskan semula ikan berkenaan ke perairan yang lebih selamat di sekitar Pulau Undan.
"Ikan ini adalah spesis marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985," katanya.