BATU PAHAT – “Percaya atau tidak, sudah hampir 50 tahun pak cik menunggang motosikal tanpa lesen...namun hari ini pak cik cukup bersyukur kerana mempunyai lesen memandu kelas B2,” kata Saudi@Sadi Kalil, 77.
Menurutnya yang tinggal di Kampung Parit Yob, Parit Yaani, dia mula menunggang motosikal ketika usianya 20-an lagi, dan ketika itu dia tidak tahu cara untuk mendapatkan lesen memandu yang sah.
Beranggapan untuk mendapatkan lesen memandu adalah sukar, Saudi terus menunggang motosikal tanpa lesen walaupun tahu risikonya.
“Tapi kali ini, walaupun usia dah 70-an, pak cik bersyukur dan tidak takut lagi apabila terserempak dengan pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Dulu kalau nampak mereka, pak cik akan mengelak, tapi sekarang pak cik dapat bawa motor dengan tenang dan kalau boleh nak tegur mereka kalau  terserempak selepas ini.
“Pak cik juga ingin berterima kasih dengan pihak kerajaan yang memberikan peluang kepada pak cik untuk memiliki lesen memandu, walaupun sekadar lesen motosikal (kelas B2) tetapi lesen ini sah di sisi undang-undang,” katanya.
Saudi ditemui semasa Program Melesenkan Penunggang Motosikal Kelas B2, kawasan Parlimen Sri Gading, membabitkan hampir 300 penunggang motosikal berusia 45 tahun dan ke atas.
Usaha berkenaan dijalankan sempena program Festival Transformasi Parit Yaani dan Mobile Community Transformation Centre (CTC) yang diadakan di Dataran Taman Perdagangan Parit Yaani.
Seorang lagi penunggang, Daing Maizaton Daing Ahmad, 47, berkata, dia sudah 20 tahun menunggang motosikal tanpa lesen dan sepanjang tempoh itu dia akan melarikan diri atau bersembunyi jika terserempak dengan pihak berkuasa.
“Setelah mendapat lesen memandu yang sah ini, saya tidak akan melarikan diri lagi. Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan ini,” katanya
Sementara itu, Timbalan Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya mempunyai lesen memandu yang sah.
Katanya, program itu membantu golongan warga emas terutamanya untuk mendapatkan Lesen Memandu Percubaan (P) Motosikal Kelas B2.
“Kebanyakan mereka ini, sama ada yang tinggal di luar bandar atau warga emas, tidak mempunyai lesen memandu yang sah tetapi mempunyai motosikal dan menunggangnya setiap hari.
“Memandu atau menunggang motosikal tanpa lesen merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) 1997. Mereka juga akan mengalami kesukaran jika berlakunya kemalangan kerana tidak dilindungi insurans,” katanya.