BEBERAPA tahun kebelakangan ini, Afdlin Shauki dilihat lebih banyak menumpukan perhatian kepada program dan aktiviti komedi. Dia juga sudah lama tidak dilihat berada di kerusi pengarah. Kali terakhir, Afdlin mengarahkan Papadom 2 yang diterbitkan lebih tiga tahun lalu.
Afdlin sendiri menyedari perkara itu dan merindui untuk kembali melalui karya baru yang boleh dikongsi bersama masyarakat.
“Mungkin dalam tempoh tiga tahun ini saya sibuk dengan beberapa program yang perlu didahulukan menyebabkan tiada masa untuk buat kerja-kerja pengarahan,” ujarnya.
Bagaimanapun, Afdlin yang telah mengarah lebih 10 buah filem ini mengakui akan kembali aktif dalam bidang pengarahan sempena tahun baru 2017 nanti.
“Insya-ALLAH jika semuanya berjalan lancar, saya akan mengarahkan filem terbaru, Sandakan Tears yang bakal menjalani penggambaran sekitar Mac depan di Sandakan dan Australia.
“Filem ini bertema sejarah. Kita cuba mengangkat satu kisah ketika pendudukan Jepun di Tanah Melayu suatu masa dahulu  yang belum pernah difilemkan sebelum ini,” katanya.
Menurut Afdlin lagi, filem berbahasa Inggeris ini menampilkan tenaga produksi dan barisan pelakon Hollywood yang dijangka menelan belanja ASD15 juta sekali gus menyasarkan pasaran antarabangsa.
Afdlin turut memaklumkan, pembikinan filem itu bukan projek biasa kerana memberi peluang karyawan tempatan meneroka pengalaman baru dan dalam masa sama cuba 'mengintai' pasaran luar.
“Jika sebelum ini orang lebih mengenali Afdlin menerusi filem-filem ringan, namun kali ini saya mengambil cabaran baru dengan mengarahkan sebuah naskhah epik yang semestinya menguji kemampuan sebagai pengarah,” terangnya penuh semangat.
Afdlin mengakui sebelum ini terutamanya selepas pulang dari Gaza, dia mengalami satu anjakan dalam diri dan haluan hidupnya.
“Selepas pulang dari Gaza, ada sedikit anjakan dalam diri di mana saya banyak fikir tentang apa yang saya nak buat ketika dan selepas itu.
“Namun selepas banyak berbual dengan ustaz dan mereka yang berkenaan, saya dapat haluan saya kembali .
"Saya mula sedar setiap apa yang kita buat itu akan ada pahalanya apabila kita fikir tentang tanggungjawab dan dahulukan dengan niat yang betul,” ujarnya jujur.
Ruang baru untuk persembahan komedi
Dalam perkembangan lain, pengarah dan pelakon serba boleh ini baru sahaja membuka cawangan restorannya, Afdlin’s Comedy Planet di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur.
“Afdlin’s Comedy Planet adalah restoran yang turut berfungsi sebagai satu ruang memberi peluang kepada bakat baru dalam bidang komedi mengetengahkan bakat terpendam mereka.
Katanya, pengunjung dapat menikmati persembahan komedi membabitkan pelawak amatur dan profesional.
“Sebagai satu-satunya lokasi di Kuala Lumpur yang menyajikan persembahan seperti itu, sudah pasti kami dapat menghiburkan pelanggan melalui pelawak yang pastinya profesional dan ada juga pelawak amatur pada setiap hujung minggu," ujarnya yang terlebih dahulu memperkenalkan ruang ini di Kilang Bateri, Johor Bahru awal Januari lalu.
Tidak sekadar itu, katanya, ruang yang boleh memuatkan seramai 400 orang dalam satu-satu masa ini turut berfungsi sebagai lokasi pelbagai aktiviti seni.
Sebagai tempat untuk menjamu selera, menurut Afdlin, sudah pasti, restoran berkenaan  menyediakan pelbagai menu enak dan unik dengan harga yang cukup berpatutan.
Selain itu, katanya, Afdlin's Comedy Planet  tidak hanya terhad kepada persembahan komedi sahaja, sebaliknya menjadi satu tempat yang disediakan untuk mereka yang mahu menjalankan pelbagai kegiatan seni seperti puisi, teater dan sebagainya.
“Hasrat saya ialah menjadikan tempat ini sebagai ruang untuk anak seni berkumpul dan melakukan sesuatu yang bermanfaat," katanya.
Impiannya, cawangan restorannya yang berkonsep sama  akan buka di Pulau Pinang pada masa akan datang.