"AKU cinta padamu,” berikut merupakan kata-kata pelakon dari Korea Selatan, Park Bogum ketika acara bertemu peminatnya, ‘Oh Happy Day’ yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Usai menyebut ayat keramat tersebut, para peminat khususnya wanita menjerit membalas kembali kata-kata beliau menyebabkan dia tersenyum gembira.
“Pada mulanya saya berasa risau untuk mengadakan majlis bertemu peminat di Malaysia kerana menyangka tiada siapa yang mengenali saya.
“Setelah melihat reaksi anda semua hari ini, saya berasa sangat lega,” katanya ketika memberi ucapan.
Nama beliau mula meniti di bibir peminat setelah membintangi drama ‘Reply 1988’ dan juga yang  terbaru ‘Love in the Moonlight’ serta kedatangan kali pertamanya ke Malaysia sememangnya dinanti oleh para peminat.
Sewaktu acara berlangsung, keletah beliau berinteraksi dengan peminatnya nyata membuatkan ramai yang semakin jatuh hati dengannya. Dia turut menyanyikan lagu asalnya bertajuk ‘My Dearest’ yang juga merupakan ‘soundtrack’ drama ‘Love in the Moonlight’.
Bagaimanapun, beliau juga bijak mencuit hati peminat-peminatnya dengan menulis sepucuk surat mengatakan bahawa dia sangat terharu dengan sokongan mereka.
“Saya berasa sangat terharu dengan sokongan anda semua sejak di lapangan terbang lagi dan juga malam ini menunjukkan rakyat Malaysia sangat peramah.
“Aku cinta padamu, terima kasih (dalam Bahasa Malaysia),” katanya sebelum mengundur diri.
Acara tersebut berlangsung selama dua jam  dan dihadiri oleh 4,000 orang peminat.