PENYANYI yang juga rapper terkenal, Altimet melancarkan album terbaru berjudul Amboi, 27 November 2016 lalu dan Tarikh itu juga adalah hari lahir ke-38 penyanyi itu.
Sidang media sempena 'kelahiran' Amboi diadakan di Talent Lough, Damansara pada 13 Disember lalu.
Amboi membawakan sembilan lagu dengan sentuhan ramai produser hebat seperti SonaOne, Navigator, DJ Fuzz, Noh Salleh, Emir Hermono, Switch dan Fauzi Marzuki.
Turut sama berkolaborasi menjayakan album ini ialah The Kawan Band, Aman-Ra, Diandra Arjunaidi, Adeep Nahar dan Amir Jahari sekali gus dilihat antara kelainan dari Altimet khas buat peminatnya.
“Kesemua lagu di dalam album ini ditulis secara spontan di studio rakaman. Saya tidak mahu nukilkan lirik di tempat lain kerana mahu mencabar diri dalam proses penulisan dan pembikinan lagu di luar kebiasaan saya,” ujar Altimet.
Seiring dengan pelancaran album itu juga, Altimet turut bekerjasama dengan AkuDesign dalam satu siri cenderamata dan barangan eksklusif, #AkuAltimet.
Peminat boleh memilikinya secara dalam talian dengan melayari www.altimet.com.my selain menyemak beberapa kedai yang menjual barangan ini di seluruh negara.