PENYANYI popular, Anuar Zain berhasrat mengadakan sebuah konsert berskala besar khusus untuk peminatnya.
Anuar yang baru sahaja melancarkan album kelimanya awal Oktober lepas berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan.
Album itu memuatkan lapan lagu iaitu Andainya Takdir, Kembali, Cinta Takkan Berakhir, Karena Aku Cinta, Belahan Hati, Kembali Padamu Ilahi, Selamat Malam dan Hujan.
Ia mendapat sentuhan komposer tempatan dan Indonesia seperti Helen Yap, Habsah Hassan, Najwa Mahiaddin, Syed Haron Ahmad, Numata, Alto dan Alam Anggara Urbach.
“Saya berharap, tour ini akan berakhir dengan konsep.
“Walaupun album tersebut telah keluar dua atau tiga tahun, promosinya akan tetap dijalankan.
“Kita masih dalam perbincangan dan sekiranya ada rezeki, sudah pasti mahu  sebuah konsert besar,” katanya ketika ditemui semasa Anuar Zain Album Tour 2016 di Mydin Pelangi Indah, Johor Bahru.
Pada sesi tersebut, Anuar sempat meluangkan masa kira-kira empat jam bersama peminatnya termasuk mempersembahkan empat lagunya iaitu Ketulusan Hati, Andainya Takdir, Kerana Aku Cinta dan Sedetik Lebih.
Untuk rangka promosi itu, Anuar menerusi syarikatnya, Anuar Zain Network Sdn Bhd bekerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings menemui peminatnya di beberapa lokasi terpilih sebelum ini iaitu Mydin USJ pada 9 Oktober, Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang (30 Oktober), Mydin Meru Raya, Ipoh (6 November), Mydin Gong Badak, Terengganu (12 November) dan Mydin Seremban 2, Negeri Sembilan (4 Disember) lepas.
Pemilik nama sebenar Shahrul Anuar Zain memberitahu, untuk mengadakan sebuah konsert besar memerlukan penelitian dari pelbagai aspek dan banyak perkara lain juga perlu diambil kira.
“Bila bercakap soal konsert, bukan suatu perkara yang picisan kerana memerlukan komitmen.
“Kita perlu fikir tentang konsepnya, siapa yang mahu bekerjasama dengan kita, tempat, penajaan dan sebagainya.
“Banyak yang perlu dilakukan selain kerja belakang tadbir. Ia bukan kerja mudah. Kita perlu bersabar dan bekerja keras sekiranya mahu menjayakannya,” katanya yang turut memberitahu jadualnya sudah padat sehingga April depan.
Pada masa sama, kata penyanyi berusia 46 tahun ini, buat masa ini dia mahu fokus untuk penganjuran konsert besarnya nanti dan tidak bercadang untuk mengadakan konsert jelajah.
“Buat masa ini, fokus  saya untuk merealisasikan konsert besar. Kalau konsert jelajah ini kita tidak pasti. Tetapi, tengoklah kalau ada rezeki tidak salah juga untuk melakukannya.
“Cuma sekarang belum muktamad, doakan saja supaya berjalan lancar,” katanya.
Mengenai Anuar Zain Album Tour 2016 yang berlangsung di enam Mydin terpilih seluruh negara itu, adik kepada selebriti popular, Ziana Zain ini bersyukur kerana  mendapat sambutan menggalakkan.
“Alhamdulillah program ini melangkaui daripada sasaran kami kerana mungkin sudah lama kita tidak buat tour seperti ini dan saya ambil peluang untuk bertemu peminat.
“Ia benar-benar menyeronokkan. Penat tetapi saya tidak fikir tentang itu. Ini semua untuk promosi dan hadiah kepada peminat setia saya dan syukur amat berbaloi apabila setiap kali lokasi dikunjungi ramai peminat menanti,” katanya yang bersedia untuk mengadakan kerjasama pintar bersama Mydin Mohamed Holdings pada masa akan datang.