IPOH - Insiden kemunculan api misteri berulang kembali apabila seorang remaja bersama anak saudara berusia 11 bulan nyaris maut dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Taman Rima Gamelan, Bercham, di sini, Isnin lalu.
Mohd Syafiq Hassan, 18, berkata, sewaktu kejadian dia sedang baring di ruang tamu manakala anak saudaranya, Meor Mohd Danish Meor Shahril nyenyak tidur sebelum menyedari bau asap dari luar rumah kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, bau asap dan api yang secara tiba-tiba muncul membakar langsir rumah menyebabkan dia terkejut dan segera bangun menyelamatkan diri bersama anak saudaranya.
“Ketika kejadian saya hanya bersama anak saudara di rumah dan selepas menghidu bau asap, saya segera lari ke tingkat atas serta membuka pintu anjung dan menjerit meminta tolong daripada jiran berhampiran.
“Saya bernasib baik kerana jiran mendengar jeritan dan segera membawa tangga untuk membawa kami berdua turun ke bawah dengan selamat,” katanya.
Katanya, sejurus selepas diselamatkan, anggota bomba tiba untuk memadamkan kebakaran yang memusnahkan beberapa peralatan rumah, pakaian dan sebuah motosikal milik abangnya, Mohd Zazeli Hassan, 30.
“Kebakaran misteri yang berlaku kali ini paling menakutkan kerana sebahagian besar barangan berharga dalam rumah musnah.  
“Kini, saya bersama abang dan ibu tinggal di rumah kakak di Taman Pakatan Jaya buat sementara waktu. Kami juga bercadang untuk membaiki rumah tersebut dalam masa terdekat,” katanya.
Dia berkata, jiran berhampiran ada melihat api muncul di dalam rumah tersebut pada waktu pagi kelmarin.
“Saya dimaklumkan jiran yang ternampak api di dalam rumah semalam (kelmarin), tetapi berlaku sekejap sahaja,” katanya.
Sebelum ini, kemunculan api misteri itu pernah berlaku pada tahun lalu di rumah peninggalan arwah bapa adik-beradik tersebut namun masih belum dapat dirungkaikan kerana didakwa tiada kaitan dengan sistem pendawaian atau aliran elektrik.
Adun Bercham, Cheong Chee Khing turut melawat rumah berkenaan dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga berkenaan manakala wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut tampil memberikan sumbangan barangan keperluan harian.