SEMAKIN meningkat remaja, Asyiela Putri Azhar mengakui terpaksa menyaringkan suara demi karakter kartun popular, Upin & Ipin.
Pun begitu, situasi itu tidak sesekali membebankan remaja berusia 16 tahun ini untuk 'beraksi’.
“Saya bermula enam tahun lalu ketika berusia 9 tahun dan Upin & Ipin memang menggunakan suara asal saya.
“Namun, apabila meningkat remaja, suara saya perlu ‘diteran’, seterusnya dinyaringkan sedikit agar kedengaran sama seperti biasa.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Sinar Harian.
 Asyiela juga perlu menjiwai skrip untuk mendapatkan emosi yang betul walaupun agak sukar mengikut setiap mood yang diberikan.
Walaupun hanya bergerak di belakang tabir dan peminat tidak melihat reaksi wajahnya, namun Asyiela mengakui tidak mudah melakukannya kerana perlu bermain dengan intonasi suara.
“Contohnya, apabila saya perlu bertukar ‘mood’ kepada sedih. Ia memang agak susah untuk dilakukan memandangkan dua watak ini seorang yang ceria,” katanya.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1) ini bertuah kerana ada jurulatih.
“Asasnya, jurulatih akan menerangkan mengenai dialog yang diberi.
“Setiap dialog ada ‘mood’ dengan intonasi tersendiri jadi jurulatih akan membantu apakah emosi yang perlu ada,” katanya.
Tujuh tahun membawakan karakter Upin & Ipin, Asyiela bagaimanapun mengakui tidak pernah bosan dan menganggap watak itu bagaikan sudah sebati dengan dirinya.
“Kadang-kadang, apabila terlalu menjiwai, saya seperti terbawa-bawa dengan watak Upin & Ipin,” katanya.
Bahkan, katanya, keputusan untuk berundur tidak pernah muncul dalam dirinya.
“Insya-ALLAH, saya akan lakukan selagi khidmat diperlukan,"  katanya yang akan memohon kelonggaran waktu sebagai persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun depan.
Jadi penyanyi?
Asyiela turut diberi peluang menonjolkan diri sebagai penyanyi.
Terbaru, Asyiela menerusi karakter Upin & Ipin menyanyikan lagu tema filem Upin & Ipin: Jeng Jeng Jeng bersama kumpulan baru, Yubi Band.
“Selalunya orang cuma dengar suara saya menerusi watak Upin dan Ipin, tetapi kali ini mereka boleh melihat rupa sebenar saya di alam realiti,” katanya.
Sebelum ini, Asyiela turut menyanyi dalam beberapa siri animasi berkenaan seperti Terima Kasih Cikgu, Gembira Bermain dan Sahabat Selamanya.
Mengimbas kembali pembabitannya sebagai pelakon suara Upin & Ipin, Aliesya mengakui semuanya berlaku secara tidak sengaja.
Bapanya, Azhar Ahmad @ Salleh, Pensyarah Animasi di Universiti Multimedia (MMU) memberi galakan.
“Ayah dan ibu mahu saya menimba satu pengalaman baru dan saya terima tawaran itu sekaligus boleh mengikis perasaan malu dan meningkatkan keyakinan diri," katanya.
Sementara itu, Asyiela sibuk mempromosikan filem Upin & Ipin: Jeng Jeng dan saluran inovatif, Upin & Ipin Bersama Kawan-Kawan yang disiarkan eksklusif di Astro First (saluran 480) mulai 1 Disember lalu dengan harga RM15.90 untuk tempoh 72 jam.