PORT DICKSON - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia untuk menghantar bantuan kepada mangsa gempa bumi di daerah Pidie Jaya, Aceh, Indonesia, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Dr Zulkifeli Mohd Zin.
Beliau berkata ATM telah meletakkan sebuah pesawat Airbus A400M dan juga bekalan perubatan serta hospital mudah alih berbentuk khemah dalam mod bersedia sekiranya keadaan memerlukan.
"Saya telah menghubungi rakan sejawat saya Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jen Gatot Nurmantyo mengenai kesediaan ATM membantu mangsa bencana itu, tetapi menurutnya buat masa ini TNI dan juga pihak berkuasa tempatan di sana masih dapat mengawal keadaan dan mampu untuk menguruskannya.
Bagaimanapun sekiranya mereka memerlukan bantuan, dia akan segera memaklumkan kepada kita," katanya kepada pemberita di sini, hari ini
Zulkifeli berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian lebih 100 mangsa maut dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal ekoran gempa bumi berukuran 6.5 skala Richter di daerah Pidie Jaya, Aceh pada pagi Rabu lepas.
Zulkifeli ditemui selepas perbarisan tamat latihan dan pemakaian pangkat 101 pegawai kadet graduan ATM di Akademi Tentera Darat di sini.
Turut hadir ialah Panglima Tentera Darat Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Roslan Saad.
Berucap pada majlis tersebut, beliau berkata dalam memperkasa peranan ATM segala strategi, pemodenan dan peningkatan aset serta profesionalisme angkatan tidak akan bermakna tanpa wujudnya modal insan yang kompeten.
Dalam hal ini, katanya sumber manusia merupakan faktor penentu dalam mengimbangi konsep trilogi iaitu antara 'manusia, mesin dan kaedah'.
"Kita perlu sedar bahawa organisasi kita meletakkan harapan yang amat tinggi, khususnya kepada barisan pegawai dan kepimpinan bagi memastikan konsep keseimbangan trilogi ini dapat dicapai sepenuhnya."
Justeru itu, kita haruslah berupaya mewujudkan keseimbangan sejati dengan mengutamakan kedua-dua dimensi penting iaitu kesiagaan keupayaan tempur dan kualiti kehidupan warga tentera," katanya.
Pada majlis itu, Muhammad Syaif Hanippudin diumumkan sebagai penuntut pegawai kadet graduan terbaik keseluruhan tentera darat, Imran Omar (penuntut kadet graduan terbaik akademik tentera darat), Lugman Pirmang (penuntut keseluruhan terbaik pegawai kadet graduan tentera laut) dan Zulfadhli Abdul Malik (penuntut keseluruhan terbaik pegawai graduan tentera udara).
Di KUALA LUMPUR, Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini melancarkan kempen 'Tabung Kemanusiaan Prihatin Gempa Aceh' bagi membantu mangsa bencana gempa bumi itu.
Setiausaha MBM Ahmad Saparudin Yusup berkata sebanyak RM100,000 disasarkan dikutip semasa kempen yang dijalankan sehingga 25 Dis ini.
"MBM juga akan menggerakkan tabung ini ke seluruh negara bagi mengutip sumbangan bantuan kemanusiaan ini,' katanya pada sidang media.
Sementara itu, jurucakap Kedutaan Indonesia di Malaysia Trigustono Supriyanto berkata gempa bumi itu menyebabkan kira-kira 43,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan 343 bangunan termasuk masjid serta sekolah turut musnah.
Katanya, sebanyak 40 buah pusat pemindahan sementara dibina oleh pihak tentera Indonesia dan badan sukarelawan di Aceh.
"Bantuan kepada penduduk di kawasan itu juga berjalan lancar termasuk bekalan asas seperti air," katanya.