ENAM tahun lalu, dia hanya gadis biasa yang cuba mempertaruhkan bakat yang ada menerusi program Akademi Fantasia musim kesembilan.
Namun langkahnya di dalam program berkenaan terhenti awal apabila diumumkan sebagai peserta pertama yang tersingkir.
Bagaimanapun semangatnya tidak terhenti setakat itu sahaja.
Pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini tetap tekad untuk meneruskan karier seni termasuk memberanikan diri menyertai bidang lakonan.
Dan hari ini, segala penat lelah, onak ranjau yang ditempuhi menjadi sangat berbaloi dengan apa yang dimilikinya kini.
Tidak hanya dikenali oleh semua lapisan masyarakat, nama Ayda Jebat juga turut dikenali di Singapura dan Indonesia sehingga melayakkannya membawa pulang trofi Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2016.
Bukan itu sahaja, gadis berusia 23 tahun ini juga menjadi duta untuk pelbagai syarikat terkenal antaranya Oppo, Gintell, Celcom, Aura White, Sephora, 100Plus dan banyak lagi.
“Alhamdulillah saya memang terharu dan rasa tak percaya dengan apa yang saya tempuhi kini
“Terima kasih saya ucapkan kepada media, keluarga, peminat, pengurus dan syarikat pengurusan yang tidak pernah lelah memberi sokongan kepada saya.
“Walaupun media, peminat tidak ada pertalian darah tapi mereka ikhlas menyokong saya.
“Saya harap, semua akan terus memberi sokongan kerana industri kita tidak besar mana, rasa hormat-menghormati itu perlu dan artis serta media juga memerlukan antara satu sama lain,” ujarnya yang mesra membahasakan diri Adik.
Tambah anak kelahiran Melaka ini, dia sedar, di sebalik apa yang dimilikinya pada hari ini, dia memikul satu tanggungjawab besar.
“Bila kita diiktiraf, dihargai menerusi pelbagai anugerah, tanggungjawab kita jadi semakin besar.
“Jadi saya mahu memastikan, lakonan dan nyanyian saya akan meningkat masa demi masa.
“Walaupun jadual saya padat, saya akan pastikan saya sendiri dapat perbaiki mutu kerja saya kerana masa saya agak terhad untuk saya menghadiri kelas nyanyian mahupun lakonan,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya Nakal Nakal Nakal dan video klip Pencuri Hati versi dangdut di Kolej Univerisiti KDU.
Berkongsi perkembangan terkininya, Ayda berkata, dia kini sibuk memenuhi jemputan mempromosikan produk.
Filem pertama lakonannya, Pinjamkan Hatiku akan ditayangkan selepas hari raya tahun hadapan, dan Ayda juga bakal memulakan penggambaran drama terbarunya untuk siaran Akasia pada awal Januari.
Selain itu dia juga baharu sahaja merakamkam lagu Pencuri Hati versi dangdut, termasuk video muziknya yang menyasarkan pasaran di Indonesia dan Malaysia.
Bukan itu sahaja, dia juga sibuk mempromosikan single ketiganya, Nakal Nakal Nakal.
“Lagu tersebut dicipta oleh Irwan Simanjuntak dari Indonesia dan kami memang dah lama berbincang. Tapi disebabkan sama-sama sibuk, jadi kami sama-sama lupa. Sehinggalah pihak stesen TV minta barulah saya teringat.
“Disebabkan kekangan masa, kami hampir membatalkan hasrat merakamkan single ketiga.
“Tapi atas kesungguhan semua termasuk Irwan, lagu tersebut berjaya dihasilkan dalam tempoh lima hari, termasuk susunan melodi, seni kata serta rakaman.
“Biarpun dihasilkan dalam tempoh singkat, namun kami masih menjaga kualitinya,” katanya yang berharap lagu tersebut akan menandingi populariti lagu Pencuri Hati.
Tawaran biasiswa
Selentara itu, bintang yang mula menyerlah menerusi lakonannya dalam drama Rindu Awak 200% turut ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian daripada Kolej Universiti KDU.
Pihak universiti memaklumkan Ayda ditawarkan biasiswa itu berikutan pencapaian cemerlang dalam bidang seni selain bakat serba boleh yang dimiliki.
Bagaimanapun menurut Ayda, dia masih lagi mempertimbangkan kursus yang sesuai serta mencari masa untuk menyambung pelajaran.
“Saya agak terkejut bila pihak pengurusan memaklumkan pihak KDU menawarkan saya biasiswa.
“Tawaran itu sah untuk tempoh tiga tahun dan saya bebas memilih kos apa sahaja dan bila-bila sahaja masa untuk bermula,” katanya.