SELAIN aktif berlakon untuk drama dan filem, serta turut dikenali di pentas teater, mungkin ramai yang tidak tahu, Azhan Rani juga merupakan seorang pelakon drama radio.
Malah sehingga kini pelakon serba boleh ini telah berlakon hampir 100 buah drama radio, antaranya seperti Tuah Si Pandir, Kesetiaan Seorang Pahlawan, Istiqamah Sebuah Cinta, Nilam Satria dan lain-lain.
Penglibatan pertamanya dalam drama radio bermula pada 2004, di mana ketika itu hasratnya sekadar mahu mencuba dan dalam masa yang sama ingin mengetahui bagaimana drama radio dilakukan.
“Dulu saya sering juga mengikuti drama radio, namun tak pernah terfikir untuk terlibat di radio kerana dari awal penglibatan sebagai pelakon saya lebih aktif di pentas teater dan kemudiannya ke drama TV.
“Namun pada 2004, saya dapat pelawaan untuk berlakon drama radio daripada salah seorang penerbit drama radio RTM, Zuraida yang ketika itu kebetulan datang menonton teater lakonan saya, Lantai T Pinkie.
“Bermula dari situlah saya mula mengenali dan kemudiannya jatuh hati dengan lakonan drama radio yang bagi saya sebenarnya lebih sukar daripada lakonan di medium lain,” ujarnya yang tampil buat pertama kali dalam drama radio bergandingan bersama Datuk Jalaludin Hassan.
Menurut Azhan, meskipun bayaran yang diterima untuk berlakon drama radio tidak setinggi drama TV, namun kepuasan yang diperolehi mengatasi segala-galanya.
“Mungkin ada yang fikir berlakon di radio sangat mudah kerana kita hanya perlu melontarkan suara sahaja, namun sebenarnya drama radiolah yang paling susah kerana apa sahaja ekspresi yang diperlukan pada sesuatu watak itu hanya boleh digambarkan melalui suara sahaja.
“Jadi seseorang pelakon itu perlu kreatif untuk memberikan imaginasi kepada penonton menggambarkan apa yang sedang berlaku dalam babak tersebut dan kejayaan berbuat demikian adalah satu kepuasan buat para pelakon,” katanya.
Kembali aktif berlakon
Dalam perkembangan lain, Azhan kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama 26 episod, Aku Di Sisimu yang bakal disiarkan di RTM tidak lama lagi.
Sementara drama lakonannya yang lain seperti Waris Kampung Semarah Padi, Hijrah Di Ufuk Senja, Aku Tak Marah, Inayah, Psikopat dan Kapur Kuning Buat Puteh juga sedang menunggu waktu siaran di kaca TV.
“Alhamdulillah saya kembali aktif berlakon selepas berehat seketika bagi menghormati pemergian bapa saya yang meninggal dunia akibat Kanser Tiroid pada 21 Ogos lalu di mana dalam tempoh itu saya banyak menghabiskan masa bersama keluarga.
“Pada saat awal kehilangannya, saya memang tidak dapat menumpukan perhatian kepada kerja sehinggakan saya terpaksa menolak beberapa tawaran kerana tidak mahu menyusahkan orang lain dengan situasi tidak keruan saya itu,” akuinya jujur.
Meskipun terkilan kerana tiada bersama ketika arwah menghembus nafas terakhirnya disebabkan tuntutan kerja, Azhan tetap meluahkan rasa syukur kerana sempat menjaga arwah ketika hayatnya.
“Arwah mula keluar masuk hospital sejak awal tahun dan bermula dari situlah saya bergilir-gilir dengan adik menjaganya ketika di hospital sehinggalah pada hujung hayatnya.
“Dalam tempoh itu saya banyak meluangkan masa bersama dengan arwah sehingga merasa begitu akrab dengannya berbanding sebelumnya di mana kami tidak selalu dapat bersama kerana kerjaya saya yang tidak tentu masa ini,” ujarnya yang bakal tampil dengan filem terbaru, Hantu Rumah Sakit Jiwa ini.