KLANG – Penduduk Kampung Pendamar Indah 1, di sini menggesa pihak bertanggungjawab melakukan kerja pembaikan runtuhan jalan yang berlaku sehingga membentuk lubang besar pada jalan masuk utama ke kawasan itu segera.
Penduduk, AG Micheal, 42, sudah dua minggu lubang besar berkenaan dibiarkan tanpa kerja pembaikan dilakukan.
“Berapa lama lagi kami nak tunggu?. Sewajarnya pihak terbabit lebih peka dan kerja pembaikan patut dimulakan dengan segera.
“Ini laluan utama penduduk di sini, memang susahlah kalau jalan ini tak boleh lalu. Lagipun, kami bimbang risiko keselamatan kalau ada anak-anak kecil yang bermain berhampiran lubang tu, bukannya ada pengadang dipasang,” katanya.
Mahat Hashim, 65, berkata, runtuhan itu berlaku akibat binaan yang tidak kukuh selain faktor laluan itu sering dilalui kenderaan berat.
“Lori kontena dan kenderaan berat lain selalu guna jalan ni. Lagipun binaan asal laluan yang merentas parit besar itu memang tak sesuai untuk kenderaan berat.
“Bila dah macam ni memang susahlah penduduk di sini. Beberapa hari lepas saya ada lihat beberapa wakil Majlis Perbandaran Klang (MPK) datang lihat keadaan lubang ini, tapi setakat ini masih belum ada kerja baik pulih dimulakan,”  katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, pihak MPK telah melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan untuk menilai kerosakan jalan.
“Setakat ini kita telah selesaikan dan muktamadkan prosedur penilaian itu. Kerja-kerja pembaikan akan dimulakan segera setelah kita dapat kelulusan untuk tindakan,” katanya
.