LUMRAH wanita, sering tertarik pada sesuatu yang cantik dan indah sama ada perhiasan diri mahupun perhiasan rumah. Kalau ikutkan hati, semuanya ingin dimiliki, mengikut trend masa kini.
Wanita masa kini lebih berdikari dan mampu memperoleh pendapatan sendiri. Oleh itu mereka juga mempunyai kuasa membeli serta mampu memiliki aset seperti membeli rumah, kereta, hartanah, membuat pelaburan dan mengambil pelan perlindungan seperti Takaful sebagai perlindungan masa depan.
Dalam hal ini, mereka pasti berurusan dengan institusi kewangan atau bank untuk mendapatkan pinjaman serta membuat bayaran bulanan.
Biasanya wanitalah yang berbelanja untuk barangan rumah kerana mereka lebih arif akan keperluan keluarga.
Pembelian secara tunai atau menggunakan kad kredit ketika berbelanja merupakan amalan biasa bagi kebanyakan orang.
Bagi barangan yang besar dan mahal seperti perhiasan rumah, alat elektronik serta barang kemas terdapat kemudahan bayaran mudah (easy payment) menerusi kad kredit atau ansuran bulanan yang disediakan oleh pihak penjual menerusi bank pembiaya.
Namun, satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah, adakah transaksi berkenaan patuh syariah? Penting untuk wanita mengambil berat tentang hal ini kerana dibimbangi terlibat dalam riba apabila mengambilnya daripada institusi kewangan atau bank konvensional.
Secara umum, riba ialah penambahan nilai ke atas sesuatu pinjaman yang disyaratkan oleh pemberi pinjaman atau dijanjikan oleh penerima pinjaman manakala dalam pertukaran sesetengah barangan dan mata wang, ia bermaksud perbezaan nilai akibat kuantiti ataupun perbezaan waktu pertukaran.
Amalan riba oleh bank konvensional berlaku apabila bank membayar faedah kepada penyimpan seperti akaun simpanan dan mengenakan bunga kepada peminjam seperti pinjaman perumahan atau kereta di mana perbezaan antara kedua-duanya merupakan keuntungan kepada bank.
Riba juga wujud dalam urus niaga pertukaran barang misalnya menukar emas lama dengan emas baharu, membeli emas secara hutang atau urus niaga mata wang asing (forex) untuk tujuan mengaut keuntungan.
Bagi mereka yang membuat perniagaan sampingan seperti menjual tudung, kain, kuih raya dan sebagainya di Facebook, Instagram mahupun di tempat kerja masing-masing, mereka juga boleh melakukan transaksi perniagaan yang fl eksibel di mana pembeli boleh membayar sekali gus atau ansuran terutama untuk belian yang banyak.
Oleh itu, pastikan juga anda berlaku adil apabila menetapkan cara pembayaran sesuatu transaksi.
Seharusnya kita berusaha mencari jalan keluar daripada terus terlibat dengan riba.
Hari ini banyak institusi kewangan dan perbankan Islam yang menawarkan produk yang patuh syariah untuk membeli rumah, kereta, kad kredit, termasuk pajak gadai Islam yang dikenali sebagai al-rahnu, sukuk dan takaful yang bebas riba.
Anda juga boleh mengambil Pelan Takaful Keluarga, Takaful Perubatan dan Kesihatan sebagai alternatif kepada insurans konvensional.
Anda bukan sahaja mendapat manfaat daripada perlindungan yang komprehensif malah manfaat yang hanya ada pada Takaful iaitu perkongsian lebihan pengunderaitan dan keuntungan pelaburan jika ada di antara peserta dan Pengendali Takaful.
Sebagai wanita, sudah tentu kita mahukan sebuah keluarga yang sejahtera di dunia dan akhirat.  Wanita juga boleh memainkan peranan untuk memberi kesedaran dan mengajak suami atau ahli keluarga yang lain beralih kepada sistem kewangan yang bebas riba.
Amalan riba membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kepada individu mahupun ahli keluarga mereka. Rezeki daripada sumber yang halal pasti berkat.
Percayalah, jiwa akan lebih tenang dan hidup lebih bahagia kerana rezeki atau kesenangan diperoleh daripada sumber yang halal.