MUAR - “Sepanjang tempoh perkahwinan hampir 20 tahun, saya berusaha lakukan sehingga empat kerja demi menyara lapan anak yang kebanyakannya masih bersekolah ketika itu,” kata seorang ibu tunggal mengimbas kembali pengorbanan yang dilakukan 12 tahun lalu apabila bekas suaminya tidak menunaikan tanggungjawab.
Ezlieyn Ruslan, 52, berkata, keadaan rumah tangganya tidak seperti yang diimpikan apabila bekas suaminya mengabaikan pemberian nafkah, tetapi sebaliknya mengharapkan pendapatannya yang ketika itu bekerja sebagai guru di sekolah swasta di Klang, Selangor.
“Dengan hanya bekerja sebagai guru dan gaji ketika itu sekitar RM4,000 sebulan agak terbatas, memandangkan lapan anak masih perlu diberi perhatian serta kos sara hidup yang tinggi di ibu kota.
“Selain itu, keadaan bekas suami yang sering mendera fizikal dan mental saya apabila kerap meminta wang menyebabkan saya terpaksa melakukan kerja sampingan demi keperluan anak-anak khususnya,” katanya kepada pemberita selepas menerima sijil penghargaan daripada Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.
Dalam program kelmarin, Ezlieyn adalah salah seorang daripada tiga ibu tunggal di daerah ini yang terpilih menerima sijil tersebut sempena program Masih Ada Yang Sayang-Memperkasakan Ibu Tunggal di Dewan Saujana, HPSF, di sini.
Menurut Ezlieyn, selain bekerja sebagai guru, dia mengakui terpaksa bijak membahagikan masa dalam melakukan beberapa kerja sampingan.
“Waktu pagi saya mengajar dan petang pada jam 3 saya ambil upah bekerja di pasar raya sehingga jam 6 petang. Kemudian saya akan pulang untuk berehat di rumah sebelum menyambung semula kerja sebagai pembantu di klinik swasta pada jam 10 hingga 12.30 malam.
“Sebaik pulang ke rumah biasanya anak-anak dah masuk tidur, waktu itu saya akan mengemas dan mempersiapkan segala kelengkapan keluarga sebelum menyambung semula kerja buat nasi lemak serta kerepek untuk dijual keesokan paginya,” katanya sambil memberitahu memperoleh pendapatan sehingga RM6,000 sebulan untuk semua kerja yang dilakukan.
Ceritanya lagi, waktu kerja yang terlalu sibuk menyebabkannya tidak mempunyai masa rehat yang cukup dan hanya tidur sejam sehari.
Akibat sudah tidak tahan didera dan diugut bekas suaminya, Ezlieyn kemudian bertindak berani apabila membawa kesemua anaknya lari mendapatkan perlindungan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum bercerai dan membuat keputusan berpindah ke Muar pada 2009.
Kata Ezlieyn, meskipun menghadapi kesukaran untuk bekerja dan membesarkan anak-anak yang ketika itu berusia antara 19 hingga 6 bulan, namun dia cekalkan hati dan semangat untuk mulakan kehidupan baharu.
“Selepas bercerai, saya buat juga tiga kerja demi menyara anak yang mula melangkah ke universiti. Nasihat saya kepada ibu tunggal lain agar jangan rasa tertekan dengan dugaan yang diberi.
“Jangan pernah anggap penceraian satu noktah hitam kerana kemungkinan ia permulaan yang lebih baik untuk kita. Apa yang lebih penting jangan pernah melepaskan kemarahan pada anak-anak, bagi perhatian pada mereka secukupnya agar mereka tak rasa kekurangan hidup tanpa bapa,” katanya.
Ezlieyn yang mempunyai tiga cucu kini boleh berbangga apabila lima anaknya berjaya menggenggam segulung ijazah dan seorang daripada mereka bakal mengambil doktor falsafah (PhD), manakala seorang lagi masih menuntut di institut pengajian tinggi (IPT) dan dua lagi bersekolah.