PONDOK merupakan pusat pengajian yang tertua di negara ini dan telah melahirkan ramai golongan ulamak dan ilmuan Islam disegani oleh masyarakat.
Pengajian pondok, pada zahirnya kelihatan daif kerana apa yang akan terlintas di fikiran ia merupakan suatu tempat pengajian yang kolot, tempat belajar yang usang dan paling teruk tiada masa depan.
Biarpun tidak dipandang di dunia tetapi hakikatnya ia menjanjikan kekayaan kepada mereka yang dekat dengan ALLAH SWT di syurga nanti.
Jika dahulu pengajian pondok hanya dipandang sebagai tempat untuk golongan kurang berkemampuan mendapatkan ilmu namun kini semuanya berubah 360 darjah.
Dalam dunia serba canggih dan moden serta bermacam-macam gejala sosial yang menular, golongan ibu bapa mula berlumba-lumba menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan ilmu agama dengan harapan mereka akan menjadi saham di akhirat nanti.
Tidak hairanlah apabila pusat pengajian pondok moden tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan di mana sahaja kerana permintaan tinggi terhadap sistem pengajian Islam tersebut.
Sejarah pengajian pondok
Kemunculan pengajian pondok di negara ini tidak dapat dikesan dengan jelas, namun sejarah kemunculannya dipercayai seiring dengan kedatangan agama Islam di Tanah Melayu iaitu pada abad ke-14.
Ia berdasarkan kepada penemuan Batu Bersurat di Terengganu bertarikh 1303 Masihi yang dijumpai di Kuala Berang.
Kemudian pertumbuhan pendidikan pondok ini semakin pesat pada abad ke-18 dan ianya dipelopori oleh golongan ulama dari Pattani.
Kebanyakannya daripada Surat Thani, Phuket, Songkla dan beberapa wilayah lain di Selatan Thailand.
Hasil daripada rakyat negara ini yang merantau dan belajar di Pattani, mereka pulang ke negeri masing-masing seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dan sebagainya.
Mereka ini dikatakan menubuhkan pengajian pondok sendiri dan masyarakat setempat tidak lagi ke Pattani untuk belajar.
Pondok pertama di Kelantan Kelantan dipercayai merupakan antara negeri yang menjadi pelopor kepada perkembangan pengajian pondok di negara ini.
Pondok pertama yang dibina di negeri ini ialah di Pulau Chondong, Machang pada tahun 1820 Masihi oleh Tuan Guru Haji Abdul Samad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Chondong.
Perkembangan pondok diteruskan dengan pembukaan Pondok Tok Bachok pada tahun 1900, Pondok Haji Abdul Malik Tumpat (1907), Pondok Haji Yusuf Pulau Ubi, Geting Tumpat (1908), Pondok Kubang Pasu, Kota Bharu (1900) dan banyak lagi.
Jadi tidak hairanlah jika pengajian pondok terus bercambah dan berkembang pesat di negeri ini sekali gus mengesahkan Kelantan digelar sebagai Serambi Makkah.
Boleh dikatakan hampir keseluruhan 12 jajahan di negeri ini mempunyai pusat pengajian pondok yang telah terbukti melahirkan ramai tokoh-tokoh ulama terkenal.