LENGGONG - Lazimnya masyarakat menganggap hubungan bermula dari laman sosial hanya bersifat sementara dan untuk suka-suka sahaja.
Namun siapa sangka, bermula dari media sosial, sang bunga dan kumbang saling mengenali malah lebih indah ia dibajai dengan ikatan sah perkahwinan.
Benarlah kata pujangga, andai sudah jodoh tidak ke mana, akhirnya bersatu jua.
Disebalik kemeriahan 42 pasangan berkahwin dalam Majlis Perkahwinan Beramai-ramai Parlimen Lenggong, anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Lenggong dan Majlis Pelancongan Lenggong itu, terselit kisah cinta bermula dari aplikasi WeChat.
Mohd Yuszaini Ramli, 26, dan pasangannya, Nor Syazwanie Samat, 20, tidak menyangka perkenalan mereka di WeChat akhirnya menyatukan mereka dalam mahligai impian.
Menurut Mohd Yuszaini, semuanya bermula dua tahun lalu apabila dia ditugaskan ke Gerik dan tanpa diduga bertemu jodoh yang selama ini dicari.
“Saya tak lama di Gerik. Selepas berkawan dengannya beberapa bulan, saya bertugas di Klang pula. Bila berjauhan, kami banyak berhubung melalui telefon saja.
“Mungkin sudah tertulis jodoh kami, isteri menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor. Jadi, dekatlah saya dengan dia.
“Bila kami dapat tahu tentang program ini, kami segera mendaftar sebab program ini dilihat sangat bagus dan sangat menjimatkan kos kami,” katanya.
Bagi Nor Syazwanie, dia tidak menyesal berkahwin awal dan menganggap keputusannya menamatkan zaman bujang semasa sedang menyambung pengajian adalah tepat.
“Saya masih muda dan saya akan fokus kepada pelajaran.
"Saya beruntung kerana suami sangat memahami dan sentiasa memberi sokongan kepada saya,” katanya.
Kematangan isteri tambat hati
Dalam pada itu, kematangan dan senyuman manis Nor Aishah Abd Rashid, 27, berjaya mencairkan hati Fairuz Badlil Shah Md Salleh, 25, lantas mewujudkan rasa cinta antara mereka.
Meskipun isterinya dua tahun lebih tua darinya, namun itu yang diimpikan Fairuz Badlil Shah selama ini dalam mencari suri hidup.
“Memang dari dulu saya suka wanita lebih berusia sebab mereka lebih matang. Sama juga dengan Aishah, kematangannya menambat hati saya.
“Saya kenal dengan dia dari aplikasi BeeTalk. Masa itu dia dalam bas sedang ke Bukit Tagar untuk bertugas di sana.
“Bila saya nampak nama dia, saya minta jadi rakan dan dia setuju. Selepas itu semuanya indah buat saya dan akhirnya kami disatukan,” katanya.
Bagi Nor Aishah pula, kejujuran suami dan usahanya menghalalkan hubungan mereka membuatkan hatinya mudah mencintai lelaki itu.
“Saya kenal dia pada 8 Jun 2015. Selepas beberapa bulan, dia beritahu mahu serius dengan saya. Pada 1 Mei lepas, kami bertunang di rumah ibu bapa saya di Lenggong.
“Dari situ kami dapat tahu ada program berkahwin beramai-ramai ini. Kami terus berminat sebab bukan mudah menyertai program sebegini,” katanya.
Nor Aishah berkata, dia memuji penganjuran program itu kerana ia membantu golongan muda melangsungkan perkahwinan tanpa mengeluarkan bajet tinggi, namun masih meriah.
“Kos perkahwinan paling kurang pun dalam RM10,000. Bila ada program sebegini, kami cuma perlu fikirkan belanja untuk keluarga dan belanja lain yang perlu.
“Makan, pakaian, pelamin semuanya disediakan penganjur. Pada kami, ini merupakan program sangat bagus dan perlu dianjurkan selalu,” katanya
.