PENDENGAR
 setia JohorFM, dahulunya dikenali sebagai Radio Malaysia Johor menerusi frekuensi 101.9 FM (bagi Johor Bahru) 92.1 (Johor Timur) dan 105.3 FM (Segamat, Muar dan Melaka) tentu ada yang meminati rancangan Tamil Payiluom atau belajar bahasa Tamil.
Kepetahan penyampai radio, A Madhavan mengendalikan rancangan itu, membuatkan ramai pendengar menyangka anak jati Kahang, Kluang, itu seorang lelaki Melayu sehinggakan ramai yang mengucapkan salam kepadanya.
Berkongsi pengalaman sepanjang 30 tahun dalam bidang penyiaran, Madhavan atau dikenali sebagai DJ Dave itu mengakui, rancangan Tamil Payiluom itu menjadi rancangan paling popular di radio berkenaan dengan rating pendengar yang tinggi pada era awal 90-an.
“Saya akui rancangan tersebut turut menaikkan populariti saya sebagai juruhebah kerana ia amat diminati pendengar, malah ketika on air saya menerima banyak panggilan, khususnya daripada orang Melayu untuk mempelajari bahasa Tamil.
“Saya juga tidak menyangka rancangan berbentuk interaksi dua hala ini amat diminati, malah ada pendengar mengumpulkan dua buku hasil catatan setiap perkataan yang dikongsi dalam rancangan berkenaan.
“Ada juga pendengar Melayu setia yang merupakan peniaga sayuran di Pasar Larkin mampu berkomunikasi dalam bahasa ibunda kaum India. Ia sudah tentu amat bermakna bagi saya sebagai juruhebah kerana mampu menarik minat pendengar orang Melayu,” katanya.
Amal cara hidup orang Melayu sejak kecil
Menceritakan pengalaman kerjayanya, bapa lima anak ini memulakan kerjaya bersama RTM sebagai deejay di Radio Tamil atau dikenali sebagai rangkaian merah pada 1982 dan kemudiannya menyertai Radio 3 Johor Bahru (kini JohorFM) pada 1989.
Ketika awal pembabitannya di rangkaian radio berbahasa Melayu, Dave mengakui pernah ditegur kerana loghat Tamilnya agak terserlah, namun dia mengambil teguran itu secara positif, malah memperbaiki pertuturan dari semasa ke semasa.
Dave yang pernah menggondol pelbagai anugerah, antaranya Anugerah Pengulas Sukan Sea Terbaik peringkat kebangsaan pada 1995 dan terbaru, Bicawara Terbaik Anugerah Media Johor 2015 mengakui mengamalkan cara hidup masyarakat Melayu sejak kecil.
Menurutnya, dibesarkan dalam persekitaran Melayu dan belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang, Kluang, membolehkan dia bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan baik.
Dave yang kini mengendalikan rancangan Segar Pagi di JohorFM dari jam 6 hingga 10 pagi juga memberitahu, ibunya fasih bertutur dalam bahasa Melayu, malah mahir berbahasa Jawa dan Banjar.
“Ketika di kampung, jiran-jiran panggil ibu saya dengan panggilan ‘Cik Bunga’, malah nama panggilan saya adalah ‘Cik Mad’ (Madhavan).
"Rakan-rakan Melayu juga tidak rasa was-was jika menjamu selera di rumah kami kerana cara hidup keluarga saya.
“Apabila tiba hari raya, saya juga akan menyambutnya bersama isteri dan anak-anak. Pada pagi raya, kami akan bersalaman dan bermohon maaf, selepas itu saya akan berikan duit raya sebelum berkunjung ke rumah sahabat untuk beraya,” katanya.
Belajar kuasai pelbagai bahasa
Walaupun telah menempa nama dalam bidang penyiaran, Dave sentiasa berusaha untuk belajar menguasai pelbagai bahasa.
Selain bahasa Melayu, Tamil dan Malayalam, dia juga mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.
Selain menjadi penyampai radio, Dave turut menerima pelbagai undangan sebagai pengacara di negeri ini dan juga di luar Johor.
Dave juga berbesar hati apabila sering diberi penghormatan mengacarakan majlis melibatkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sekali gus memberinya peluang mengusai bahasa istana
.