KEPALA BATAS - Dari jauh kelihatan susuk tubuh seorang lelaki menunggang motosikal membawa kotak kedap udara di belakangnya sambil membunyikan hon masuk ke kampung-kampung di sekitar Kepala Batas serta Tasek Gelugor.
Abu Bakar Hassan, 58, atau lebih mesra disapa Mat Di ini sudah hampir 20 tahun menjalankan perniagaan menjual laksa, bihun serta kuey teow sup.
Bagi Abu Bakar, dia merasakan lebih selesa menjual dengan cara sebegitu berbanding membuka gerai tetap kerana pelbagai pengalaman yang diperolehnya.
“Kalau nak diikutkan pengalaman, pelbagai kisah suka dan duka yang saya tempuhi, antaranya pernah sekali tayar motosikal saya ini ditetak oleh lelaki kurang siuman tatkala berniaga di sebuah kawasan.
“Mungkin masa tu dia dalam keadaan tertekan, dia meluru ke arah saya dan terus menetak tayar motosikal, saya kata kat dia 'hang jangan kacau aku', saya sempat menepis dan menahannya daripada berbuat demikian, saya menyabarkan dia, nasib baik dia pergi berlalu begitu saja,” katanya sambil tersenyum.
Menariknya, makanan yang dijual Abu Bakar ini berharga RM2 untuk laksa manakala bihun serta koey teow sup pula hanya RM3.
“Saya tak buat sendiri, saya ambil daripada orang dan menjualnya, selalunya dalam jam 4.30 petang saya akan mula keluar dan bergantung kepada keadaan, kadangkala dalam jam 8.30 malam baru habis, kadangkala habis awal.
“Saya memang tak jual mahal, sebab kawasan yang saya selalu pergi kebanyakannya kawasan kampung, pelanggan saya pula dah terbiasa dengan harga ini, jadi memang tak pernah naik, memang macam ini harganya,” katanya.
Bagi mereka yang pertama kali menyapa diri anak jati Bumbung Lima, Kepala Batas ini, pasti dilayan dengan senyuman dan gurauan yang pastinya tidak kering gusi dibuatnya.
“Kita berniaga, kenalah ramah dengan orang, baru orang akan beli dengan kita, lagi pula, saya memang suka berbual, jadi bila sampai mana-mana kawasan pun, memang saya akan bersembang sambil berniaga, pada masa sama boleh dapat kawan baru.
“Berniaga ni tak boleh sombong dengan orang, kalau sombong, macam mana orang nak beli, nampak dari jauh pun dah tutup pintu rumah kalau dia tahu kita ni sombong,” katanya.
Ayah kepada tujuh orang anak ini berkata, perniagaan bergerak dengan menggunakan motosikal ini diwarisi daripada ayahnya.
“Dahulu ayah saya juga berniaga seperti ini, dia pergi dari kampung ke kampung, tak rugi berniaga macam ini, pada saya setiap hari saya ada saja pengalaman baru.
“Saya nekad terus berniaga seperti ini, keluarga saya juga tiada masalah, malah terus menyokong. Pada saya dalam apa yang kita lakukan walaupun dalam soal mencari rezeki, kita mahukan kepuasan dan bagi saya inilah kepuasan saya nikmati,” katanya.