MELAKA TENGAH - Seorang pengarah syarikat wanita hanya mampu beristighfar selepas tergamam melihat cermin kereta dipecahkan lalu beg tangannya dilarikan sekumpulan enam lelaki dalam kejadian samun di Jalan Bukit Katil, di sini.
Ibu beranak lima itu disamun enam lelaki yang bertindak mengepung di bahagian kiri, kanan dan belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipandunya dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang Ahad lalu.
Kejadian samun terhadap mangsa mahu dikenali sebagai Farah Syazila, 35, itu dikongsi seorang lelaki juga saksi kejadian yang turut memuat naik beberapa keping gambar di dalam Facebook lalu menjadi viral sejak Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, wanita itu antara enam mangsa kejadian samun yang dilaporan kepada polis dalam tempoh lapan jam membabitkan enam lokasi berbeza di Bukit Serindit, Ayer Keroh dan Lagenda.
"Kita menerima enam laporan membabitkan kejadian samun yang berlaku antara jam 11 pagi hingga 7 petang yang mengatakan didatangi tiga hingga enam lelaki menaiki dua hingga tiga motosikal ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.
"Kita tidak tolak kemungkinan keenam-enam kes dilaporkan ini dilakukan suspek sama berikutan modus operandi sama digunakan ketika menyerang mangsa dan mereka dipercayai menyasarkan pemandu berseorangan terutama wanita serta kenderaan mewah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Menurutnya, keenam-enam mangsa berusia lingkungan 20-an hingga 30-an termasuk seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM15,000 dengan nilai paling tinggi berjumlah RM10,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.