MACHANG - Pasukan Kertuk Kampung Awah dekat sini, dinobatkan sebagai juara pertandingan kertuk Dun Temangan di Kampung Bunchit, kelmarin.
Pertandingan yang dianjurkan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Machang dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara menawarkan hadiah wang tunai RM600 untuk juara.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Machang, Wan Mohd Adnan Wan Aziz berkata, pertandingan kali kedua dianjurkan tersebut mengetepikan ideologi politik sebaliknya semua penduduk bersama-sama bagi memartabatkan alat muzik tradisional Kelantan itu agar tidak tenggelam dek zaman seterusnya dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.
Katanya, semua peminat alat muzik tradisional itu tanpa mengira politik menyertai pertandingan tersebut malah pengadilnya adalah penyokong Pas, Syamsul Zaman Sukri atau lebih dikenali sebagai Ustaz Budak dan Imam Masjid Mukim Paloh Rawa, Yusoff Isa.
Menurutnya, Kertuk mempunyai peminatnya yang tersendiri, namun alat muzik tradisional tersebut semakin dilupakan malah ada dalam kalangan masyarakat terutamanya anak-anak muda tidak mengenali seni budaya nenek moyang itu.
“Selepas mendapat sambutan yang memberangsangkan pada pertandingan julung kali diadakan sebelum ini, kami sepakat meneruskan penganjuran program ini dengan hasrat menyemarakkan seni budaya Melayu Kelantan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima begitu baik malah masing-masing menunjukkan komitmen tinggi sekali gus mengukuhkan hubungan antara masyarakat tanpa mengira fahaman politik,” Katanya kepada Sinar Harian di sini.
Tempat kedua dimenangi Pasukan Kampung Gosong manakala Pasukan Kampung Merbau Labi dan Bunchit di tempat ketiga dan keempat.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM400, RM300 dan RM200.
Pertandingan yang bermula jam 9 pagi hingga 12 malam tersebut disertai tujuh pasukan kertuk di Dun Temangan dengan penyertaan lebih 2,000 penduduk dan peminat alat muzik kebudayaan itu.
Kertuk merupakan sejenis alat muzik tradisional yang diperbuat daripada kayu merbau yang menggunakan alat palu untuk mengetuk belira. Belira adalah sejenis kayu yang diletak di atas lubang kertuk untuk menghasilkan bunyi.
Penggunaan kayu yang baik untuk menghasilkan belira dikatakan mempengaruhi bunyi yang dihasilkan selain pengalaman pemain muzik itu sendiri. Alat muzik tradisional ini pada asalnya diperbuat daripada buah kelapa sebelum ditukar kepada kayu merbau.
Pada zaman dahulu, kertuk digunakan oleh golongan tertentu untuk memanggil penduduk kampung atau orang ramai supaya berkumpul sebelum menyampaikan sesuatu berita atau pengumuman penting.
Selain itu, kertuk juga digunakan dalam pertandingan yang disertai penduduk terutama selepas musim menuai padi. Lazimnya, pertandingan diadakan pada waktu malam.
Tambah Wan Mohd Adnan, pihaknya tidak menolak untuk meneruskan pertandingan itu pada masa akan datang dalam usaha memartabatkan seni budaya tersebut sekali gus menyokong minat masyarakat setempat
.