BENTONG - Demi kasihkan abangnya, seorang wanita sanggup mengorbankan kerjayanya untuk menguruskan lelaki itu yang terlantar selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang dan sawan.
Umi Borohan, 48, mengakui terpaksa berbuat demikian demi memastikan abangnya, Shapri Borhan, 50, dijaga dengan baik meskipun hidup dalam serba kekurangan.
Menurutnya, sejak abangnya disahkan menghidap penyakit itu, dia tidak dapat meneruskan urusan harian seperti sediakala, malah tidak dapat keluar rumah untuk mencari rezeki.
Lebih memilukan, Shapri yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan lumpuh dan tidak mampu bergerak yang kini diuruskan oleh Umi.
Umi berkata, abangnya itu sudah lama menghidap penyakit sawan, sejak berusia 17 tahun.
“Sebelum ini, walaupun dia menghidap penyakit sawan dia masih boleh bekerja dan menjalani kehidupan seperti biasa.
‘”Namun, Ramadan yang lalu, saya masih ingat masa itu Ramadan pertama…dia diserang sawan dan selepas itu dia sakit dan terlantar sampai ke hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chemomoi, di sini semalam.
Umi berkata, perbelanjaan harian keluarga dan abangnya tidak mencukupi memandangkan beliau terpaksa berhenti kerja dan kini hanya suaminya yang bekerja di ladang kelapa sawit.
Menurutnya, dia membuat keputusan nekad untuk tidak lagi bekerja bagi memberi perhatian sepenuhnya dalam menguruskan abangnya yang terlantar sakit.
Namun katanya, tanpa pekerjaan dan hanya suaminya sahaja yang bekerja, beban sememangnya terasa dalam menyediakan keperluan harian keluarga dan abangnya termasuk urusan rawatan perubatannya.
“Abang saya sekarang tidak boleh makan seperti biasa. Sekarang ini, saya beri dia susu berharga RM75 yang hanya bertahan selama seminggu dan juga kos lampin pakai buang RM85 sebulan.
Umi berkata, abangnya hanya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM 200 sebulan.
“Saya harap ada pihak yang sudi membantu saya demi melihat abang saya sembuh sepenuhnya,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi talian 011-17932464 atau menyalurkannya ke akaun bank BSN Umi Borohan (06113-41-00004680-4)