JIKA disebut limau kasturi, pasti kita akan terbayang akan perahan jusnya dinikmati dengan ais dapat menghilangkan dahaga sewaktu cuaca panas.
Rasanya yang masam itu dapat membangkitkan rasa segar, manakala bau buah sitrus pula mengingatkan kita pada keindahan alam.
Kebiasaannya limau jenis itu dijadikan penambah rasa kepada pencicah seperti cencaluk atau budu, membangkitkan selera makan.
Malah limau kasturi dipercayai mempunyai khasiat tinggi untuk mengurangkan sesetengah penyakit seperti lelah, sakit tekak dan juga pening kepala.
Ia rawatan alternatif petua orang lama untuk memberi kelegaan bagi masalah kesihatan tertentu.
Bahkan, limau kasturi amat terkenal untuk hilangkan bau badan bagi mereka yang kuat berpeluh.
Berbeza dengan syarikat Buminiche Sdn Bhd, limau kasturi diberi nafas baharu dalam bidang kecantikan dan kesihatan.
Pengarah Urusannya, Mohd Nor Azizi Awalludin memperkenalkan produk buatan Malaysia ke serata dunia hasil formulasi dibangunkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Menurutnya, produk tersebut dihasilkan dan dibangunkan sejak 10 tahun lalu sehingga fungsinya terbukti berkesan terhadap masyarakat.
“Dalam tempoh itu, pihak Mardi mencari rakan kongsi memasarkan produk ini secara lebih meluas.
“Pastinya kita tahun bahawa Mardi adalah salah satu institut kukuh dan dipercayai ramai,” katanya.
Tumpu pasaran tempatan
Biarpun baharu sahaja dikeluarkan pada Mac lalu, Nutrima Cellcode sudah menjelajah pasaran Eropah dan Asia Tenggara.
Mengakui produk itu lebih dikenali pasaran luar, Mohd Nor Azizi mahu memperkenalkan Nutrima Cellcode ke pasaran tempatan berikutan ia produk Bumiputera.
Beliau berkata Nutrima Cellcode dihasilkan daripada buah limau kasturi dengan formulasi baharu Mardi.
"Sebotol Nutrima Cellcode mempunyai kandungan philoretin bersamaan 40 biji epal hijau.
"Hasil inovasi Mardi, campuran enzim ke dalam limau kasturi dapat meningkatkan kandungan philoretin, yang mana ia membantu untuk mengurangkan kedutan di wajah dan melambatkan proses penuaan.
"Kandungan philoretin adalah antipenuaan yang sangat baik untuk kulit kita," katanya.
Kebaikan Nutrima Cellcode menambat pasaran China, Arab Saudi dan Turki yang bakal menandatangani memorandum persefahaman (MoU) syarikat dengan tiga pasaran luar itu.
Bukan itu sahaja, syarikatnya bakal berkolabarasi dengan AirAsia, Loreal Paris, Guardian dan P&G bagi memperluaskan pasaran.
"Untuk jualan tempatan, kami berjaya melepasi RM700,000 jualan. Ia merupakan satu kejayaan manis buat Nutrima Cellcode.
"Bagi tahun hadapan, kami menyasarkan jualan tempatan sehingga RM1.4 juta, manakala luar negara RM1.38 juta," katanya.
Dengan harga RM238 satu pek, Mohd Nor Azizi berkata, kesan produk dapat dilihat selepas tujuh hari.
Terpilih pasarkan produk
Menceritakan permulaan mengenai produk tersebut, Mohd Nor Azizi berkata, syarikatnya antara tujuh buah syarikat yang membentangkan usul memasarkan produk itu.
Beliau tidak menyangka dipilih sebagai rakan kongsi Mardi dan ejen pemasaran produk.
“Saya yakin dengan produk ini kerana kajian dan penyelidikan institut yang berprestij di negara kita.
“Penerimaan Mardi terhadap usul kami yang agak berbeza daripada enam syarikat lain. Kami mempunyai visi dan misi agak jelas terhadap produk ini kerana berpotensi tinggi untuk ke pasaran global,” katanya.
Konsep diterapkan dalam kertas cadangan adalah memasarkan produk itu ke peringkat antarabangsa kerana merasakan Nutrima Cellcode setanding produk terkenal lain.
Perancangan teliti menjayakan projek itu, membuatkan Nutrima Cellcode diterima sehingga ke Paris, China, Turki dan banyak lagi.
Pihaknya juga melakukan penjenamaan semula meyakinkan pelanggan antarabangsa mengenai khasiat limau kasturi.
Faktor paling ditekankan, pembungkusan yang menarik dan eksklusif untuk mendapatkan perhatian khususnya golongan wanita.
Bagi mempromosikan Nutrima Cellcode, beliau bekerjasama dengan pusat kecantikan MediSpa bagi meluaskan produk itu.