BAGAIKAN ledakan fenomena baharu, nasi berlauk yang biasanya menjadi hidangan sarapan, kini beralih sebagai menu waktu malam.
Fenomena itu merancakkan lagi perusahaan nasi berlauk yang wujud bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun dalam keghairahan tauke nasi berlauk mempromosikan nasi berlauk masingmasing, nasi berlauk air dingin tetap pilihan utama.
Ia tersohor sejak sekian lama apatah lagi cara pemasarannya juga istimewa, dibawa dari Tumpat menaiki kapal terbang untuk hidangan warga kota di Kuala Lumpur.
Kini hampir satu Malaysia orang berbicara mengenai keenakan nasi berlauk air tangan wanita daerah Tumpat ini.
Bukan setakat menakluki seluruh negeri Kelantan tetapi kini ia mula memasuki pasaran Perak, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Negeri Sembilan dan Melaka.
Pendek kata, kalau mahu makan nasi berlauk Nasi Air Dingin tidak perlu ke Tumpat lagi, cari saja di kopitiam, di restoran, di gerai-gerai di mana sahaja seluruh Malaysia pasti ada.
Sinar Harian cuba mendekati pengusaha nasi berlauk itu yang merupakan anak jati kampung Air Dingin iaitu Husna Nasi Berlauk (HNB) dan Nasi Air Dingin (Ori) Kak Soh.
Tidak lupa pengusaha nasi berlauk Kak Chik di Kampung Berangan walau pun bukan dari Kampung Air Dingin tetapi ia antara yang mencetuskan fenomena nasi berlauk malam.

Nasi berlauk air dingin ori Kak Soh
SESUAI dengan namanya, Nasi Berlauk Air Dingin ‘Ori’ Kak Soh dikatakan pengusaha terawal nasi berlauk nasi air dingin.
Kini sudah 35 tahun bertahan dalam dunia perniagaan nasi berlauk ikan tongkol, menu pagi rakyat Kelantan paling popular dan digemari ramai.
Nasi Air Dingin atau nasi berlauk Air Dingin Ori Kak Soh yang diambil sempena nama Kampung Air Dingin, diusahakan oleh Allahyarham Rafiah Muhammad atau dikenali sebagai Esah.
Selepas pengasasnya meninggal dunia dua tahun lalu, kini anak perempuannya Azirah Baharudin, 29, mewarisi kepandaian itu.
Walau pun diwarisi generasi kedua, tetapi keenakan nasi air dingin yang berlaukkan gulai darat ikan tongkol ini sama dengan hasil tangan arwah Esah.
Suami Esah, Baharudin Baharom, 71, berkata, sekitar tahun 1981, nasi berlauknya dikenali nasi pohon buluh kerana di hadapan gerainya terdapat rimbunan pokok buluh.
Menurutnya, selepas berpindah ke lokasi baru iaitu bertentangan dengan lokasi asal sekitar tahun 1997, nasi berlauknya dikenali pula dengan jolokan nasi air dingin.
“Bermula dari situ, ia dikenali ramai sehingga ke daerah lain kerana ada peraih membelinya dalam kuantiti banyak dan dijual di kedai kopi, kopitiam dan restoran,” katanya.
Baharudin berkata, bagi memenuhi permintaan pelanggannya, sehari dia perlu memasak sekitar 60 kilogram ikan tongkol manakala hari minggu mencecah 100 kilogram.
Selain pelanggannya yang makan di kedai dan bawa balik, Baharudin juga menerima permintaan luar biasa daripada peraih.
Baharudin berkata, dia mengehadkan hanya 1,000 bungkus untuk peraih sehari manakala selebihnya dijual di kedai nasinya di Kampung Air Dingin, Tumpat.
“Saya tidak mahu membebankan anak saya Azirah. Dialah tukang masak gulai darat ini, perlu bangun awal uruskan di dapur dan selepas itu perlu bergegas ke tempat kerja.
“Kalau ikutkan permintaan pelanggan, hari-hari lebih 60 kilogram ikan tongkol perlu dimasak gulai darat,” katanya memaklumkan anaknya bekerja di makmal hospital.
Selain nasi berlauk ikan tongkol, di sini juga dijual nasi lemak ayam goreng.
Perniagaannya dibuka jam 7 pagi sehingga 11 pagi.