BEIJING - CHINA. Hanya kerja tiga tahun, tetapi boleh dapat bonus RM100,000!
Itulah untungnya kerja di Huawei Technologies Co. Ltd., syarikat multinasional China yang menghasilkan alat-alat rangkaian telekomunikasi.
Syarikat ini yang kini merupakan pembuat alat-alat telekomunikasi terbesar di dunia, dipercayai memperuntukkan sebanyak 150 bilion Yuan ( RM97.6 bilion) sebagai bonus untuk diagihkan kepada semua pekerjanya berdasarkan keuntungan yang diperoleh syarikat tahun ini.
Menurut laporan portal berita tempatan, Xinlang, bagi pekerja berkelulusan universiti yang berkhidmat lebih daripada tiga tahun, mereka pasti tersenyum puas apabila layak memperoleh bonus sekurang-kurangnya 150,000 Yuan (RM100,000) setiap seorang.
Sementara bagi mana-mana pekerja yang menyertai syarikat itu sebelum tahun 2000, setiap pekerjanya akan menikmati bonus lebih daripada 1,000,000 Yuan (RM650, 000).
Adalah dianggarkan, pada tahun ini, sekurang-kurangnya 3,000 pekerja Huawei akan diberi bonus 2,000,000 Yuan (RM1.3 juta) dan apa yang paling menariknya ialah setiap pegawai atasannya yang berpangkat Gred 21 dan Gred 22 akan berpeluang mendapat bonus sehingga 5,000,000 Yuan (RM3.25 juta)!
Huawei ditubuhkan oleh bekas pegawai tentera, Ren Zhengfei pada tahun 1987 sebagai syarikat sendirian yang dimiliki oleh pekerja-pekerjanya.
Sehingga hari ini, Huawei yang beribu pejabat di Shenzhen mempunyai lebih daripada 140,000 pekerja dengan gaji minimum tahunan 170,000 Yuan (RM115,000).