ALEXANDRIA - MESIR. Seorang pelatih sarkas meninggal dunia selepas dibaham singa semasa persembahan di Mesir.
Islam Shaheen,35, mengambil bahagian dalam pertunjukan sarkas di Alexandria ketika serangan itu berlaku.
Rakaman video menunjukkan Shaheen mengawal singa berkenaan dengan kayu manakala singa yang lain memanjat tangga dan beberapa beberapa minit kemudian seekor singa menerkam ke arah mangsa.
Dalam pada itu, pelatih yang lain sedaya upaya cuba untuk membantu mangsa dan kedengaran jeritan penonton yang turut menyaksikan kejadian itu.
Shaheen dikejarkan ke hospital Andalusia Salam namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Menurut adiknya, dia bekerja sebagai pelatih sarkas sejak sepuluh tahun lalu.
Sementara itu, jurucakap sarkas, Mohammed Mustafa berkata, serangan itu berlaku ketika singa itu dalam musim mengawan dan menyebabkan kelakukan tidak dapat dijangka.
Singa itu tidak akan membuat sebarang pertunjukan sementara siasatan sedang dijalankan.