TANAH MERAH - Landskap semula jadi dan geografi daerah ini menjadikan Bukit Panau di sini, berpotensi dibangunkan sebagai produk pelancongan untuk sukan luncur udara atau paragliding.
Pada ketinggian hampir 240 meter, Bukit Panau dilihat lokasi sesuai bagi sukan lasak itu kerana memudahkan peserta untuk berlepas dan membuat pendaratan.
Namun, kurangnya peluncur udara dalam kalangan penduduk daerah ini dan tiada sokongan daripada pihak berkenaan menyebabkan Bukit Panau tidak dieksploitasi sepenuhnya untuk aktiviti sukan tersebut.
Situasi itu mendorong seorang peluncur udara profesional yang juga jurulatih sukan tersebut dari Kampung Kelewek, dekat sini, tekad untuk mempromosikan sukan luncur udara dalam kalangan penduduk daerah ini.
Asnawi Mohd Hassan berkata, dia berhasrat untuk melatih seramai mungkin peluncur udara dalam kalangan warga daerah ini, bukan sahaja sebagai aktiviti sukan malah sebagai satu kerjaya.
“Tujuan saya adalah melahirkan ‘pilot’ (peluncur udara yang mampu membuat penerbangan solo) dalam sukan luncur udara dari daerah ini.
“Kalau boleh, biar ramai anak jati Tanah Merah yang mahir ‘terbang’ sehingga boleh bawa orang termasuk pelancong untuk terbang sama,” katanya, semalam.
Asnawi berkata, warga Tanah Merah yang berminat menceburi sukan itu secara serius boleh mengikuti kursus yang ditawarkan Paragliding-AAA Extreme khusus untuk anak jati daerah ini.
Tambah beliau, kursus untuk penerbangan solo itu terbuka kepada lelaki dan perempuan yang akan diadakan di Besut, Terengganu, selama tiga hari dua malam.
“Dengan yuran promosi RM1,200, kita sediakan semua peralatan, pengangkutan untuk naik ke bukit, pembantu jurulatih dan walkie talkie untuk peserta. Peserta hanya perlu tanggung penginapan dan makan minum,” jelasnya.
Asnawi berkata, sukan itu juga boleh dijadikan kerjaya apabila seseorang peluncur udara itu sudah mahir terbang ‘tandem’ dan mampu membawa penumpang.
“Syarat utama dalam sukan ini adalah seseorang itu mesti betul-betul minat dan serius nak jadi pilot luncur udara,” katanya.