KOTA BHARU - “Saya mahu tinggal di rumah sendiri, walaupun usang. Tetapi disebabkan tiada elektrik kami terpaksa menumpang di rumah bapa dan datuk,” luah pesakit tibi tulang bernanah, Mohd Izran Che Razab, 38.
Nasibnya ditimpa kesusahan apabila dia disahkan mengalami penyakit berkenaan setelah dirawat di hospital di Johor dan Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, sejak awal tahun ini.
Tinggal bersamanya isteri, Zainah Ismail, 38, dan dua anak, Nor Adissa, 19 dan Nur Danisya, 4, dia kini hilang pendapatan yang sebelum ini bekerja sebagai pendawai elektrik setelah disahkan sakit.
“Baru-baru ini, hospital minta saya buat pembedahan pada tulang belakang iaitu membuang nanah, namun akibat rasa gerun dan memikirkan kos rawatan yang tinggi kira-kira RM26,000 untuk dua kali bedah, saya tangguhkan hasrat ini.
“Saya belum berbincang dengan kebajikan hospital sebab tak tahu prosedurnya, tetapi bila mendengar kos yang tinggi, saya tahan sakit ini dan doktor nasihatkan supaya perlu banyak bergerak elak saraf rosak,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Kulim, Melor, di sini, semalam.
Apa yang menyedihkan, rumah yang dibina sejak tiga tahun lalu daripada kayu rumah usang yang dibeli dengan harga kira-kira RM3,000 belum lagi dapat dihuni.
“Sudah hampir enam tahun saya menumpang duduk di rumah orang dan apabila rumah ini siap, saya ingatkan boleh duduk, tetapi belum sempat memohon bekalan elektrik, saya disahkan sakit.
“Saya amat berharap ada insan sudi membantu dan saya juga telah buat permohonan bantuan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik) serta Sosco, tetapi masih belum diluluskan,” katanya.
Mohd Izran yang menggunakan tongkat untuk berjalan juga memerlukan sumbangan kerusi roda dan bekalan susu anaknya untuk anaknya yang bongsu.
Mereka yang ingin membantu boleh berkunjung ke rumahnya di Kampung Sri Kulim, Melor (sempadan Kampung Mahligai, Bachok) atau menghubungi Zainah di talian 014-8185602 untuk menghulurkan sumbangan.