CHENOR - Siapa sangka Kampung Kuala Wau yang terletak sejauh 70 kilometer dari Bandar Maran ini menyimpan khazanah tersembunyi paling berharga kepada penduduk Negeri Pahang.
Ini kerana, terdapat sebatang pokok Tualang tinggi sebesar lebih 20 pemeluk dewasa yang telah dianggarkan berusia 500 tahun oleh wakil dari Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) berdasarkan faktor kulit dan kondisinya.
Penghulu Mukim Luit 2, Saharil Apindi berkata, kedatangan FRIM baru-baru ini bagi menjalankan kajian terhadap pokok Tualang tersebut menambahkan lagi keyakinan penduduk bahawa ia satu khazanah negara yang membanggakan Kampung Kuala Wau.
"Secara luaran tengok sahaja kita sudah boleh anggarkan yang pokok ini berusia lebih ratusan tahun. Namun secara spesifik, umurnya belum diketahui.
"Pokok ini sangat besar dan tinggi serta menyimpan pelbagai cerita suka duka Kampung Kuala Wau. Malah cerita sebelum merdeka lagi," katanya, ketika ditemui dalam Majlis Menghubung Menyatu, anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, semalam.
Sementara itu, bagi Mohd Shari Md Pilus, 67, yang juga Penolong Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pahang (Pentadbiran) berkata, kewujudan pokok itu membuka satu peluang baharu bagi generasi muda dan akan datang untuk melihat dan menyaksikan secara dekat, warisan ratusan tahun itu.
"Saya berasal dari Kampung Lubuk Paku bersebelahan Kampung Kuala Wau. Dari kecil lagi kami sudah mengetahui kewujudan pokok ini tapi tidak tahu yang ia berusia ratusan tahun.
"Apabila diberitahu oleh FRIM, perasaan teruja dan berbangga hadir kerana bukan mudah untuk menyaksikan pokok setua itu depan mata, yang kita sedia maklum hanya ditemui di dalam hutan besar atau di Taman Negara Pahang. Itupun baru berusia 450 tahun. Jika usia Pokok Tualang di kampung ini disahkan secara rasmi, saya yakin ia adalah pokok tertua yang dijumpai di Negeri Pahang atau mungkin di Malaysia," katanya.
Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kuala Wau, Wan Mohamad Lizan  Ahmad, 41, berharap kajian dijalankan pihak berkaitan akan terus berjaya dan membuktikan secara saintifik mengenai usia pokok tersebut, sekaligus menjadikan pokok tersebut mercu tanda keunikan Kampung Kuala Wau.
Pokok Tualang merupakan spesies pokok hutan hujan tropika dalam keluarga Fabaceae yang banyak didapati di Filipina, Indonesia, Malaysia, dan Thailand.
Ia merupakan salah satu spesies pokok tropika tertinggi: spesimen tertinggi berukuran 85 menurut sumber Wikipedia.