SERDANG – Polis memburu 10 lelaki yang melakukan samun bersenjata di dua stesen minyak masing-masing di Bypass Lebuhraya Bukit Jalil dan Bandar Kinrara, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, kesemua suspek menaiki enam motosikal pelbagai jenis mengacukan parang ke arah pekerja kaunter dan memaksa mangsa mengeluarkan semua wang tunai dalam peti tunai.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, suspek turut mengambil beberapa barangan di rak pameran jualan selain melarikan dua telefon bimbit milik pekerja serta wang derma sebanyak RM200.
Menurutnya, setelah selesai memperoleh hasil samun di premis pertama, kumpulan penjenayah terbabit kemudian ke sebuah lagi stesen minyak dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pertama kira-kira jam 6.10 petang.
Beliau berkata, enam lelaki menaiki tiga motosikal bersenjatakan dua parang meluru masuk ke dalam premis dan memecahkan CCTV serta menyerang pekerja yang berada di kaunter.
“Suspek merosakkan barang di rak pameran jualan serta melarikan barang-barang berharga milik pekerja.
“Suspek turut merampas wang tunai sebanyak RM1,000 daripada seorang pelanggan wanita yang kebetulan mengeluarkan wang di mesin juruwang automatik (ATM) terletak dalam premis,” katanya.
Beliau berkata, kerugian dianggarkan hampir RM10,000 di kedua-dua stesen minyak terbabit.
“Pekerja melaporkan suspek melarikan sejumlah wang tunai di peti tunai, dua telefon bimbit, dompet pekerja dan wang milik pelanggan sebanyak RM1,000.
“Polis percaya kedua-dua kes melibatkan suspek sama. Kes ini akan diteliti dari segenap aspek dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya.